Cheptegei pecah rekod Olimpik acara 10km
ATLET Uganda, Joshua Cheptegei meraih emas dalam acara 10,000 meter (m) lelaki pada Sukan Olimpik Paris di Stade de France pada awal pagi Sabtu.
Juara dunia tiga kali dan pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo itu mencatat masa 26 minit 43.14 saat untuk memecahkan rekod sebelum ini iaitu 27 minit 7.17 saat yang dibuat oleh atlet Ethiopia, Kenenisa Bekele pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Berihu Aregawi dari Ethiopia mengenepikan atlet Amerika Syarikat Grant Fisher untuk meraih perak.
Cheptegei mengakui dia mendapat inspirasi selepas kejayaan Bekele di Beijing.
“Ia adalah impian golongan muda untuk mencapai apa yang mereka mahu capai dalam hidup. Hampir 16 tahun yang lalu apabila saya menyaksikan kemenangan hebat Kenenisa Bekele di Beijing, ia adalah sesuatu yang menyemarakan semangat saya.
"Saya berkata, suatu hari nanti, saya mahu menjadi juara Olimpik. Saya sudah lama mahukan kemenangan ini. Apabila saya mendapat perak di Tokyo, saya kecewa. Saya hanya mahu memenangi 10,000m.
"Ia memerlukan banyak keberanian. Ia benar-benar menakjubkan. Tiga kali juara dunia dan kini saya menambah gelaran Olimpik," katanya.