LFL bimbang lesen media sosial undang salah guna kuasa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Lawyers For Liberty (LFL) mengkritik usaha kerajaan untuk menetapkan semua penyedia platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon lesen.

Pengasas bersama yang juga penasihatnya, Eric Paulsen berkata, ini kerana tindakan tersebut dibimbangi boleh memberi ruang kepada penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, kebimbangan itu bersasas dengan mendakwa Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain telah disalahgunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Tidak ada sebab sama sekali untuk berfikir bahawa pelesenan atau perundangan media sosial yang dicadangkan baharu ini juga tidak akan disalahgunakan," katanya di aplikasi X.

Paulsen yang juga peguam hak asasi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan mesej internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos.

Keputusan tersebut antara lain untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, pandangan sama turut disuarakan Pengarahnya, Zaid Malek berhubung usaha terbaharu yang akan dilaksanakan kerajaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelesenan platform media sosial sama sekali tidak diperlukan dan akan menjejaskan lagi reputasi kerajaan kerana dilihat cuba menutup mulut pengkritik.

"Tindakan itu seumpama dengan konsep di sebalik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah berdekad digunakan untuk mengawal media cetak termasuk menutup akhbar.

“Undang-undang zalim ini terus berkuat kuasa di bawah kerajaan pimpinan PH walaupun sebelum ini mereka berjanji untuk memansuhkannya," katanya.

Tambahnya, penggunaan media sosial telah menjadi komponen penting dalam mana-mana masyarakat demokratik dan ia harus dipelihara.

"Sebarang penyalahgunaan platform media sosial seperti buli siber, penipuan atau jenayah lain boleh ditangani dengan peraturan yang komprehensif," katanya.

Ujar Zaid, kerajaan juga didakwa tidak bersifat demokratik apabila bertindak meminta penyedia media sosial menurunkan kandungan yang mengkritik pentadbiran mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!