Mahathir, Mukhriz tidak dicabar

Mukhriz dan Mahathir
Mukhriz dan Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi apabila tidak dicabar pada pemilihan Bersatu yang akan diadakan Jun depan.

Setiausaha Bersatu Kedah, Datuk A Aziz Mohamod berkata, hanya pencalonan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu diterima di Bahagian Langkawi pada hari penamaan calon yang berlangsung hari ini.

Sementara Menteri Besar Kedah yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menang tanpa bertanding di Bahagian Jerlun.

“Mukhriz mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Jerlun selepas tidak dicabar setelah tempoh penamaan ditutup,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Alor Setar hari ini.

A Aziz berkata, tiga bahagian lain turut menyaksikan penyandang ketua bahagian menang tanpa bertanding iaitu Razak Khamis di Pendang, Datuk Azimi Daim di Kulim Bandar Baharu serta Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat di Alor Setar.

“Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah bertanding jawatan Ketua Bahagian Kubang Pasu, dicabar oleh bekas Setiausaha bahagian itu, Mohd Nasir Jamaludin, manakala Ketua Srikandi Kedah, Halimaton Shaadiah Saad (Ketua Srikandi Kubang Pasu) berdepan satu lawan satu,” katanya.

Pencalonan bagi pemilihan Bersatu bermula hari ini disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Februari sehingga 29 Mac, dengan mesyuarat di peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April.

Perhimpunan Agung Bersatu pula akan diadakan selama empat hari bermula 25 Jun ini yang turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan berlangsung.

Artikel Berkaitan: