#MYNICCARES ceriakan warga emas

Gobind (duduk, tiga dari kanan) dan Hasnul (duduk, empat dari kanan) beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing di Seri Kembangan kelmarin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Gobind (duduk, tiga dari kanan) dan Hasnul (duduk, empat dari kanan) beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing di Seri Kembangan kelmarin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, MYNIC Berhad (MYNIC) menyalurkan sumbangan berupa kelengkapan elektrik dan katil serta bergotong-royong menceriakan Rumah Jagaan Orang Tua Wan Hing di sini menerusi program #MYNICCARES kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, inisiatif itu diambil bagi meraikan dan memberi kegembiraan Tahun Baru Cina kepada golongan warga emas.

Menurutnya, pasukan #MYNICCARES bergotong-royong mengecat dan membersihkan persekitaran rumah jagaan berkenaan yang menempatkan lebih 30 warga emas.

Katanya, sumbangan barang kelengkapan elektrik dan katil yang dianggarkan bernilai RM10,000 serta bekalan makanan turut disalurkan untuk memperbaiki kehidupan penghuni pusat jagaan tersebut.

“Program ini juga dilaksanakan bagi menyokong usaha kerajaan untuk merealisasikan semangat Kemakmuran Bersama kerana kita memberikan semangat dan kegembiraan kepada masyarakat yang lebih memerlukan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang merupakan perayaan kegembiraan, kebersamaan dan kemakmuran.

Gobind (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada pemilik Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing, Michelle Yee di Seri Kembangan kelmarin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Gobind (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada pemilik Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing, Michelle Yee di Seri Kembangan kelmarin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

“Penglibatan pasukan #MYNICCARES adalah sebahagian daripada kegembiraan dan kebahagiaan kepada warga emas yang sentiasa menantikan seseorang untuk bersama serta mengambil berat tentang mereka,” katanya kepada Sinar Harian di Rumah Jagaan Orang Tua Wan Hing di sini kelmarin.

Penyerahan sumbangan kepada pemilik Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing, Michelle Yee disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, program tersebut adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat MYNIC bagi membantu pusat kebajikan berkenaan, selain mengurangkan beban kos harian mereka.

“MYNIC sentiasa mencari peluang untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Pasukan kami teruja menjadi sukarelawan program ini, sekali gus menunjukkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Gobind berharap program #MYNICCARES dikekalkan setiap tahun dan diadakan di lokasi-lokasi berlainan bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan.