Pandu Puteri #QuranHour angkat Surah Al-Fatihah

Norulhuda (berdiri, kanan) bersama peserta Pandu Puteri Remaja dan Renjer pada program Pandu Puteri #QuranHour di Kem Slim, Cameron Highlands.
Norulhuda (berdiri, kanan) bersama peserta Pandu Puteri Remaja dan Renjer pada program Pandu Puteri #QuranHour di Kem Slim, Cameron Highlands.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Hampir 500 peserta daripada Pandu Puteri Remaja, Renjer dan guru pemimpin menyertai Pandu Puteri #QuranHour: Panduan Membina Peribadi sempena Perkhemahan Pandu Puteri Remaja dan Renjer Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2024 di Kem Slim, Cameron Highlands selepas solat Maghrib pada Khamis, 13 Jun 2024.

Kali ini Surah Al-Fatihah dipilih sebagai tema bagi program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Ia memberi tiga formula untuk membentuk keperibadian mulia melalui konsep mengenal Pencipta, syukur dan hari pembalasan.

Sesi dimulakan dengan bacaan ayat pertama sehingga ayat keempat Surah Al-Fatihah yang dibimbing oleh Guru Agama, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja, Ustaz Muhammad Jazmi Muhammad.

Ustaz Mohd Harfiz
Ustaz Mohd Harfiz

Ia diikuti dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB), Ustaz Mohd Harfiz Hamzah. Berikutnya, Ustaz Jazmi menyambung bacaan ayat kelima sehingga ayat ketujuh dengan diselang-selikan tadabbur oleh Ustaz Harfiz.

“Surah Al-Fatihah dibaca sebanyak 17 kali dalam solat lima waktu setiap hari dengan tujuan mengenal ALLAH SWT. Inilah perkara yang perlu diingatkan kepada diri kita.

“Di dunia ini, kita bebas memilih mana-mana jalan kehidupan, tetapi apa yang penting kita perlu jelas ke mana hala tujunya. Orang yang kenal ALLAH SWT, dia boleh menjadi orang yang hebat.”

Tambah Ustaz Mohd Harfiz, Surah Al-Fatihah ayat 2 mengajar kita bersyukur. Perkataan syukur senang disebut tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan. Belajar bersyukur dengan menghargai apa yang ada di hadapan mata, pada setiap ketika. Dengan izin ALLAH SWT, semakin bertambah kebaikan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Manakala, ayat 3 yang bermaksud ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Walaupun ALLAH SWT bersifat Maha Pemurah dan Penyayang, tetapi kita tidak boleh buat sesuka hati kerana kita pasti akan bertemu dengan ALLAH, dan jelas dinyatakan pada ayat 4 yang bermaksud Dialah Pemilik pada Hari Pembalasan.

“Surah Al-Fatihah mengingatkan kepada kita bahawa apa jua yang kita buat, mentaliti kita fikir akhirat. Orang yang fikirkan dunia, ia bersifat sementara, masa pendek dan sekarang. Sedangkan hari akhirat adalah selamanya. Orang yang berfikiran akhirat, akan memikirkan bahawa setiap perkara yang dilakukan sekarang akan memberi kesan pada hari akhirat.”

Panduan ayat 5 membawa proses untuk hati kita tunduk kepada ALLAH SWT dan memohon pertolongan kepada-Nya. Keperibadian seseorang itu bergantung kepada cara dia berfikir. Sesuai dengan ayat 6 yang memandu kita belajar merendahkan diri dan lemah di hadapan ALLAH, kemudian barulah memohon pertolongan kepada ALLAH SWT.

Setiap kali membaca Surah Al-Fatihah dalam solat, ayat 7 sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kita berjanji untuk mengikut jalan yang ALLAH berikan nikmat, bukan jalan yang dimurkai dan bukan jalan yang sesat. Semoga surah tersebut menjadi panduan dan pengajaran kepada para peserta.

Norulhuda
Norulhuda

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang (PPPMCP) Daerah Cameron Highlands, Norulhuda Khazizi berkata, Pandu Puteri #QuranHour yang pertama kali diadakan sempena perkhemahan ini dianjurkan oleh PPPMCP dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan ASISB serta tajaan daripada Wardah.

Menurut beliau, Surah Al-Fatihah sebagai surah pembukaan dalam al-Quran. Ia bersesuaian dengan jiwa anak-anak Pandu Puteri Remaja dan Renjer dari 12 Kontinjen PPPMCP, merangkumi 11 daerah di Pahang yang menyertai perkhemahan ini selama tiga hari dua malam bermula 12 hingga 14 Jun lalu.

Dari kanan, Norulhuda, Yuhanis ketika penyampaian tajaan produk Emina kepada peserta Pandu Puteri #QuranHour.
Dari kanan, Norulhuda, Yuhanis ketika penyampaian tajaan produk Emina kepada peserta Pandu Puteri #QuranHour.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berangkat bercemar duli ke Majlis Perasmian program tersebut pada hari pertama.

Tambah Norulhuda, cabaran dunia tanpa sempadan hari ini memberi kesan kepada golongan remaja. Diharapkan dengan panduan al-Quran, mereka mampu mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat.

Manakala wakil Wardah, Yuhanis Firza Yusrizal berkata pihaknya menyambut baik untuk menjayakan program Pandu Puteri #QuranHour yang menyasarkan golongan remaja dan mendekatkan diri dengan kefahaman al-Quran.

Pihak Wardah telah menjalinkan kerjasama yang erat bersama WUIF melalui beberapa program #QuranHour seperti World #QuranHour dan World #QuranConvention.

Ustaz Mohd Harfiz (kanan) bersama Ustaz Muhammad Jazmi ketika memberi pengisian pada Pandu Puteri #QuranHour.
Ustaz Mohd Harfiz (kanan) bersama Ustaz Muhammad Jazmi ketika memberi pengisian pada Pandu Puteri #QuranHour.

“Program kali ini, kita berkongsi bermanfaat dengan menaja produk terbaharu gincu dan pencuci muka berjenama Emina yang bersesuai dengan remaja, dan produk pencuci muka jenama Wardah untuk para guru.

“Wardah bukan sekadar perniagaan, tetapi “Manfaat dahulu sebelum bertumbuh” yang menjadi slogan Paragon, syarikat induk kami di Indonesia. Diharapkan al-Quran menjadi panduan membina jati diri kita,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!