Duit bayar sewa rumah hangus, kebakaran babit enam premis

Bomba memadam api di bangunan rumah kedai di Jalan Wong Ah Jang pada Selasa. Gambar kecil: Sazanah (kiri), dan Danny
Bomba memadam api di bangunan rumah kedai di Jalan Wong Ah Jang pada Selasa. Gambar kecil: Sazanah (kiri), dan Danny
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Ibu kepada tiga anak pasrah apabila wang simpanan RM500 untuk membayar sewa hangus selepas rumah sewanya di tingkat atas sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Wong Ah Jang di sini terbakar, pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Sazanah Mohamed, 58, bersama anaknya tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kini tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai memasak, namun dikejutkan dengan bunyi letupan kecil, sebelum melihat percikan api dari sebuah kedai di tingkat bawah.

Bomba memeriksa kedai milik Danny yang turut terbakar.
Bomba memeriksa kedai milik Danny yang turut terbakar.

"Api cepat merebak dan asap mula tebal, saya menjerit agar anak-anak keluar segera. Saya juga tidak sempat ambil dokumen penting dan barang berharga termasuk duit sewa rumah sebanyak RM500.

"Waktu itu, saya hanya fikir nyawa saya dan anak-anak, jadi saya tidak sanggup ambil risiko," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian pada Selasa.

Dia yang berniaga meluahkan rasa bersyukur dapat menyelamatkan diri, selain tidak mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja pemadaman api giat dilakukan oleh pihak bomba.
Kerja-kerja pemadaman api giat dilakukan oleh pihak bomba.

"Saya reda dan yakin ada hikmah dan rezeki lain di sebalik kejadian ini," katanya.

Sementara itu, peniaga alat ganti kenderaan, Danny Ng, 64, berkata, bunyi bising yang disangka individu sedang bergaduh telah menyelamatkan nyawanya.

"Bila keluar saya lihat asap hitam dan semua orang sudah keluar dari bangunan ini.

"Selepas itu, saya nampak api di dalam kedai," katanya yang sudah 20 tahun menjalankan perniagaan di bangunan rumah kedai itu.

Bomba memadamkan api pada bahagian bekalang bangunan rumah kedai di Jalan Wong Ah Jang di sini pada petang Selasa.
Bomba memadamkan api pada bahagian bekalang bangunan rumah kedai di Jalan Wong Ah Jang di sini pada petang Selasa.

Danny memberitahu, kebakaran itu dikatakan berlaku di salah sebuah kedai yang terletak kira-kira 50 meter dari kedainya, sebelum ia merebak.

"Saya tidak tahu berapa rugi lagi," katanya ringkas.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 21 anggota penyelamat bersama jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 3.41 petang.

"Kebakaran melibatkan enam unit pintu kedai dua tingkat setiap unit berkeluasan 20x60 kaki terbakar.

"Pintu pertama dan tiga masing-masing terbakar 50 peratus, pintu kedua (80 peratus), pintu keempat sebanyak 70 peratus manakala 30 peratus bagi pintu kelima serta keenam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki berumur 56 tahun mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Zulfadli berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 5.34 petang dan kerja-kerja pemadaman sedang giat dijalankan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!