Pemandu e-hailing didakwa cabul wanita

Laporan Sinar Harian pada 8 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian pada 8 Jun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang videonya tular kerana menyentuh punggung seorang wanita di sebuah kedai runcit peralatan pembaikan rumah di Selayang minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Irwan Iesa, 38, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan wanita berusia 38 tahun itu di dalam kedai berkenaan di Selayang pada jam 2 petang, 4 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Gan Sing Gee dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah atas alasan isteri tertuduh sarat mengandung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!