PM ajak umat Islam hayati mesej kesederhanaan ibadah haji

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah Haji agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

Beliau berkata, dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi dan jangan terpesong daripada tujuannya.

"Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertanding, terpancar menerusi penghayatan dan amalan.

Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan.

"Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha menerusi lama Facebook.

Tambah Anwar, peluang mengembara ke Makkah buat menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Ilahi kepada hambaNya.

Jelasnya, namun diingatkan haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia agar tidak lupa saudara asnaf di kota dan desa.

"Sementara kita meraikan kemeriahan Aidiladha bersama keluarga, jangan dilupakan saudara asnaf di kota dan desa.

"Kongsilah nikmat tuhan bersama dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban.

"Akhirul kalam, saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh haji yang mabrur dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!