[VIDEO] 22 notis dikeluarkan beri alasan naik harga selepas penyelarasan susbsidi diesel

A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengeluarkan 22 notis kepada syarikat perkhidmatan, pengangkutan dan pembinaan di negeri ini, melalui Op Kesan 2.0 sejak 8 Jun lalu.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, turut diambil tindakan dua syarikat perkhidmatan trak penunda dan pengangkutan masing-masing di Ulu Tiram dan Muar, yang tular baru-baru ini selepas memaparkan notis kenaikan harga perkhidmatan.

Jelasnya, notis berkenaan dikeluarkan kepada syarikat tersebut bagi memastikan tiada elemen pencatutan ke atas harga dan caj perkhidmatan dilakukan selepas penyasaran subsidi diesel.

"Sejumlah 20 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada syarikat yang didaftar di bawah pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).

"Sementara, dua notis lagi dikeluarkan kepada syarikat perkhidmatan penunda kenderaan dan pengangkutan yang tular, selepas disahkan tidak berdaftar dan tidak layak dalam pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).

"Kedua-dua syarikat berkenaan diserahkan notis Selasa lalu dan dikehendaki melengkapkan notis bertulis dengan mengemukakan dokumentasi dan justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan mereka dalam tempoh enam hari selepas serahan notis berkenaan dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lilis Saslinda memeriksa tanda harga sayur-sayuran di sebuah pasar basah di Tampoi, Johor Bahru pada Ahad.
Lilis Saslinda memeriksa tanda harga sayur-sayuran di sebuah pasar basah di Tampoi, Johor Bahru pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pemeriksaan Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar di Tampoi dekat sini, pada Ahad.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lalu sebagai persiapan bagi menghadapi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel supaya tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, untuk statistik, KPDN Johor telah melaksanakan sebanyak 50 pemeriksaan menerusi Ops Kesan 2.0.

Beliau berkata, Ops Kesan 2.0 akan terus dipertingkatkan di negeri ini bagi memastikan tiada syarikat yang berdaftar SKDS mahu pun yang tidak layak menerima subsidi diesel, mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya.

"KPDN Johor mengingatkan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini.

"Orang awam yang ada maklumat mengenai sebarang kenaikan harga yang meragukan boleh segera menghubungi KPDN di semua platform yang disenaraikan di laman sesawang kami," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat.

Manakala denda sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!