Jalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa - MP Kuala Kangsar

Iskandar Dzulkarnain (tengah) menghadiri program Esports Piala Iskandar Dzulkarnain di Dewan Chandan Puteri, Kuala Kangsar pada Sabtu.
Iskandar Dzulkarnain (tengah) menghadiri program Esports Piala Iskandar Dzulkarnain di Dewan Chandan Puteri, Kuala Kangsar pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memilih untuk meneruskan tugas sebagai wakil rakyat selagi belum menerima keputusan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Menurut beliau, status kerusi diwakilinya itu hanya akan diputuskan oleh Tan Sri Johari Abdul pada sidang Parlimen akan datang.

"Notis terhenti keahlian sudah pun saya terima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiada apa yang perlu dikomen.

"Difahamkan pihak Bersatu akan hantar surat kepada Speaker jadi, selagi tiada apa-apa tuntutan daripada Speaker, saya masih kekal sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan saya jalani tugas seperti biasa untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Esports Piala Iskandar Dzulkarnain di Dewan Chandan Puteri di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Bersatu menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

Selain Iskandar Dzulkarnain, lima lagi ahli Parlimen adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Pada program itu, Iskandar Dzulkarnain berkata, e-sports mampu membangunkan semangat berdaya saing antara pemain di samping meningkatkan keupayaan pelbagai kemahiran.

Artikel Berkaitan:

"Program yang julung kali diadakan itu berjaya mengumpul 1,000 anak muda menonjolkan bakat mereka.

"Sukan ini boleh menjadi platform untuk para pemain mewakili negara dan juga menjadi salah satu cabang pekerjaan.

"Adalah wajar sukan kegemaran anak muda itu diperkenalkan di kawasan kampung agar mereka diberi peluang mengembangkan bakat selari dengan teknologi masa kini," katanya.

Tambah beliau, teknologi baharu sekiranya dimanfaatkan dengan betul boleh menghindarkan golongan beliau terlibat dalam gejala sosial termasuk dadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!