Don Daniyal direhatkan terus daripada program Salam Baitullah

Don Daniyal
Don Daniyal
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan Don Daniyal Don Biyajid dalam program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berakhir selepas pendakwah selebriti itu sekali lagi mencetuskan kontroversi dalam siaran pada Khamis.

Tindakan drastik itu dimaklumkan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yang turut meluahkan kekecewaannya ekoran kontroversi terbaharu itu.

Suhaimi menegaskan, Don Daniyal sepatutnya mengikut setiap garis panduan yang diberikan.

Suhaimi
Suhaimi

"Salam Baitullah berbaki empat episod sahaja lagi, jadi tak perlu (teruskan dengan Don Daniyal). Kita sudah bagi peluang, sudah dinasihat oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), pihak berkuasa lain dan ahli agama, tetapi apa yang diberitahu tidak dibuat.

“Dia nak juga tunjuk kehebatan bab hadis yang lemah. Saya sudah beri amaran jangan buat sebab perkara itu akan menarik perhatian dan kritikan ahli-ahli agama.

"Secara tidak langsung orang akan pertikaikan kredibiliti Salam Baitullah. Saya kena jaga 'branding' program itu. Ramai yang tidak suka Don (Daniyal) akan mencari kesalahan dia. Sudahlah, kita tak akan terima dia untuk bersiaran lagi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini pendakwah kontroversi itu pernah direhatkan oleh RTM susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

Dalam dakwaan dibuat semasa bersiaran di sebuah stesen radio, Don Daniyal mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.

Meskipun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan, pendakwah terbabit bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan.

Terdahulu, Suhaimi memaklumkan tugas Don Daniyal dalam program sempena musim haji itu sekadar sebagai perantara dan bukan penganalisis atau penceramah, malah sudah dinasihatkan untuk tidak mengundang kontroversi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!