Mufti tegur 'orang tengah' ibadah korban

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Wan Salim
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan mereka yang berperanan sebagai orang tengah dalam urusan ibadah korban supaya tidak mengeksploitasi hajat umat Islam dengan mengenakan bayaran yang terlalu tinggi.

Wan Salim berkata, orang tengah yang dimaksudkan ialah mereka yang menguruskan proses korban antara penternak dan umat Islam yang ingin menyertai ibadah tersebut.

“Para penjual terbabit juga perlu mengutamakan ganjaran pahala di akhirat berbanding keuntungan di dunia. Jangan mengeksploitasi hajat orang Islam dengan mengenakan harga yang tinggi.

“Tentunya mereka mementingkan keuntungan, namun fikirkan juga tentang pahala yang ALLAH beri kepada sesiapa yang memudahkan saudaranya untuk melaksanakan ibadat yang dituntut dalam agama,” katanya.

Penyertaan ibadah korban anjuran pihak tertentu seperti masjid dan surau tahun ini mengenakan bayaran antara RM800 hingga RM900 untuk satu bahagian lembu atau RM5,600 seekor, termasuk kos pengurusan.

Pada masa sama, harga lembu di ladang boleh didapati pada harga serendah RM4,000 seekor di beberapa negeri.

Dalam pada itu, Wan Salim turut mencadangkan supaya pihak berkuasa memperuntukkan bantuan dalam kadar tertentu sebagai subsidi kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban.

“Semoga dengan itu, ibadah ini tidak dirasai sebagai satu bebanan sebaliknya untuk menggalakkan lebih ramai umat Islam menyertainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai ibadah korban, Wan Salim berkata, hukum melaksanakan ibadah tersebut adalah fardu kifayah.

Menurutnya, walaupun ada ulama yang berpandangan bahawa ibadah korban hanya diwajibkan ke atas mereka yang berkemampuan sahaja, namun menurut pandangan majoriti ulama, ia adalah sunat muakkad atau sunat yang amat dituntut dalam syariat.

“Memadai jika ada sebahagian anggota masyarakat di satu-satu kawasan atau qariah melakukannya sebagai mewakili seluruh penduduk di situ.

“Seekor lembu korban boleh dikongsi oleh tujuh orang dan satu bahagian adalah memadai untuk sebuah keluarga.

“Perlu juga diketahui bahawa antara syarat korban ialah kemampuan seseorang dari sudut kewangan untuk membeli haiwan korban,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!