Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh ketika melintas

Lokasi kemalangan yang mengakibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian berlaku pagi tadi.
Lokasi kemalangan yang mengakibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian berlaku pagi tadi.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala rakannya patah tangan selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.40 pagi, kedua-dua mangsa sebelum itu berjalan kaki menyeberangi jalan untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya dalam perjalanan untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang.

“Ketika kejadian mangsa yang maut memakai pakaian seragam sekolah manakala rakannya memakai pakaian sukan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Dengkil. Selepas perlanggaran pemandu kereta melarikan diri,” katanya.

Menurut Azman, kejadian berlaku di jalan dua hala, permukaan jalan kering dan tidak hujan namun lokasi kemalangan berlaku agak gelap.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang cedera dihantar ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, manakala yang cedera dikenali sebagai Aina Safiyah Saparin, 13. Kedua-dua mangsa tinggal di Kampung Olak Lempit, Banting.

Artikel Berkaitan:

“Pemandu kenderaan masih belum dapat dikenalpasti dan usaha mengesannya masih dijalankan. Saksi yang melihat kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Lau Ung Hee ditalian 0196699901,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) AKta Pengangkutan Jalan 1987.