Seorang pendaki Malaysia maut di Gunung Denali, Alaska

Siaran di Facebook Kelab Jelajah Alpine (KJA) pada Sabtu
Siaran di Facebook Kelab Jelajah Alpine (KJA) pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pendaki rakyat Malaysia, Zulkifli Yusuf, 37, dilaporkan meninggal dunia, manakala rakannya, Zainudin Lot, 47, berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama tiga hari berhampiran Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat (AS).

Wakil Kelab Jelajah Alpine (KJA) berkata, Zulkifli disahkan meninggal pada Rabu jam 6 pagi waktu tempatan semasa berlindung di sebuah gua salji di ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.

“Punca kematian disyaki akibat 'high altitude cerebral edema' dan 'hypothermia' dan akan disahkan melalui post mortem.

“Jenazah kini masih berada di tempat kejadian dan proses mengeluarkan jenazah mungkin mengambil masa untuk menunggu cuaca baik,” katanya dalam siaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang berjaya menawan Gunung Denali, Alaska, AS diselamatkan selepas terperangkap akibat cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada Selasa.

Wakil KJA dilaporkan berkata, pendaki itu, Muhammad Illaham Ishak, 47, kini berada di hospital untuk mendapatkan rawatan manakala dua lagi iaitu Zainudin dan Zulkifli masih menanti pasukan penyelamat di lokasi pada ketinggian kira-kira 5,990 meter.

Sementara itu, jurucakap Taman Negara Denali, Paul Ollig berkata, mangsa yang selamat dibawa keluar dengan bantuan helikopter kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan iaitu 11 malam waktu Malaysia.

Kenyataan media daripada Jurucakap Taman Negara Denali pada Jumaat
Kenyataan media daripada Jurucakap Taman Negara Denali pada Jumaat

Artikel Berkaitan:

Ujar Paul, mangsa berjaya dipindahkan dari lokasi dia dilaporkan terkandas pada paras ketinggian 5,974 meter dari puncak gunung tertinggi di Amerika Utara itu.

“Menurut pasukan penyelamat, mangsa dan pasangannya berlindung dalam gua salji sejak lewat Selasa.

“Operasi pihak renjer akan beralih kepada perancangan usaha mengeluarkan mayat pendaki terbabit dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Paul, pasukan penyelamat berdepan kesukaran sepanjang operasi menyelamat dilakukan susulan situasi awan tebal dan angin kencang di kawasan gunung berkenaan.

“Pada jam 10.30 malam Khamis waktu tempatan, juruterbang helikopter taman negara itu dapat menjatuhkan beg kecemasan bencana berhampiran gua salji yang menjadi tempat berlindung dua pendaki terbabit.

“Juruterbang kemudiannya mengesan seorang pendaki melambai ke arahnya, namun keadaan angin masih terlalu kuat untuk melakukan pemindahan mangsa dengan selamat," katanya.

Tambahnya, setelah cuaca bertambah baik, juruterbang helikopter dan seorang renjer kembali ke lokasi berkenaan untuk penerbangan tinjauan pada jam 6 pagi Jumaat waktu tempatan.

Jelas Paul, juruterbang tersebut berjaya menurunkan bakul penyelamat dengan menggunakan tali dan membawa keluar mangsa ke Kem Induk Kahiltna di kaki gunung berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Lapangan Terbang Talkeetna sebelum diterbangkan dengan ambulans udara ke hospital,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!