Muhammad Adib tak sangka kelibat dalam radar Pan-gon

Foto: Football Association of Malaysia
Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

PEMAIN pertahanan kiri Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra'op yang buat julung kali dipanggil ke kem latihan pusat pasukan negara tidak menyangka kelibatnya telah lama dipantau pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Muhammad Adib yang sangat teruja dengan pengalaman baharu dilaluinya bersama pasukan negara berkata, selama ini beliau hanya bermain untuk Penang FC tanpa mengetahui persembahannya berjaya menarik minat Pan-gon.

"Saya tak sangka (diperhatikan Pan-gon) sebab saya rasa saya cuma bermain di Penang FC, saya tak rasa orang pandang saya. Apa yang penting (kini) saya kena buat terbaik," katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Khamis.

Sebelum ini, Pan-gon berkata, beliau sudah mengikuti rapat perkembangan Muhammad Adib sejak semusim lalu, selain menyifatkan pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kelebihan tersendiri yang diperlukan pasukan.

Pada masa sama, Muhammad Adib yang turut mampu bermain di posisi sayap enggan mensia-siakan peluang keemasan ini untuk merebut tempat dalam skuad akhir dan cuba meraih penampilan antarabangsa pertama.

"Kalau dia (Pan-gon) bagi peluang sekarang saya kena ambil peluang itu dan saya kena pegang terus peluang itu, saya terus kena tunjuk yang umur 25 saya kena tunjuk lah sebab ramai pemain lagi muda daripada saya dah main dengan pasukan negara," katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain Perak FC itu mengakui sangat berbangga apabila mengetahui namanya tersenarai dalam kem latihan pusat kali ini.

"Saya sangat gembira dengan berita itu, saya rasa ini semua berkat doa ibu bapa, kawan-kawan, pasukan. Saya (juga) patut ucap terima kasih kepada Kim Pan-gon kerana nampak saya.

Artikel Berkaitan:

"Mak dan ayah sangat bangga, mereka tak pernah sangka benda ini, tapi mereka kata (pesan) usaha, doa dan solat jangan tinggal," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada 6 Jun, sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D dengan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia selepas empat perlawanan berada di posisi ketiga kumpulan dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!