Ramai jemaah haji mula hantar barang

Zahari (dua dari kiri) melihat sendiri proses penghantaran barang jemaah haji oleh Pos Malaysia Berhad di Hotel Abraj Al-Janadriyah, semalam.
Zahari (dua dari kiri) melihat sendiri proses penghantaran barang jemaah haji oleh Pos Malaysia Berhad di Hotel Abraj Al-Janadriyah, semalam.
A
A
A

MAKKAH - Ramai jemaah haji Malaysia mula menghantar pulang barangan yang dibeli menggunakan dua perkhidmatan agensi kurier yang dilantik oleh Tabung Haji (TH) dengan purata penghantaran antara dua hingga tiga tan sehari bagi setiap agensi.

Pengurus Khidmat Luar TH, Zahari Zainal berkata, trend ini dilihat sama seperti tahun lalu yang mana jemaah haji lebih suka menghantar barang yang dibeli lebih awal walaupun berlaku perubahan mata wang.

Menurutnya, perkhidmatan penghantaran barang ini dilihat sebagai satu keperluan kerana jemaah yang membeli dalam jumlah yang banyak tidak perlu khuatir akan terlebih timbangan sewaktu balik nanti.

“Pada tahun ini, TH luluskan dua syarikat iaitu Pos Malaysia Berhad dan FGV Transport Services. Kita letak salah satu syarikat ini di setiap 12 penginapan.

“Cas penghantaran pun tidak berubah. Sama seperti tahun lalu iaitu SAR18 bagi penghantaran ke semenanjung Malaysia dan SAR23 bagi Sabah dan Sarawak,” katanya kepada petugas media, di sini.

Menurutnya, kebanyakan barangan yang dihantar oleh jemaah haji termasuk pakaian, sejadah, kurma dan kekacang.

“Kedua-dua agensi ini akan memastikan barangan yang dihantar tidak termasuk barang larangan seperti air zam-zam, senjata, barang cetak rompak, barangan elektronik, power bank, kad kredit dan wang tunai,” katanya.

Zahari berkata, pengirim tidak perlu bimbang kerana barangan yang dihantar dijamin selamat dan dilindungi insurans Takaful jika berlaku sebarang kerosakan pada barang atau kotak yang dihantar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jemaah dinasihatkan menggunakan perkhidmatan agensi yang dilantik sahaja kerana kalau menggunakan agensi luar, pihak TH tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kehilangan atau kerosakan pada barang yang dikirim.

“Petugas akan pastikan maklumat barang lengkap sebelum dihantar. Jika ada kerosakan barang, ada insurans Takaful.

“Sebab itu kita war-warkan kepada semua untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan TH. Berbanding di luar kerana jika berlaku apa-apa TH tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, TH akan sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan kesemua vendor-vendor luar ini mengikut standard perkhidmatan.

“Saya diberi amanah untuk menjalankan pemantauan terhadap syarikat-syarikat luar, terutamanya perkhidmatan penghantaran bagasi/barang bagi memastikan perkhidmatan ini memenuhi standard yang ditetapkan TH.

“Untuk makluman, bagi perkhidmatan bagasi, pemantauan melibatkan peralatan yang digunakan seperti, timbangan, poster, banner dan juga petugas,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!