Tukar status tanah rizab Melayu satu kesalahan - SPRM

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mana-mana pihak untuk salurkan maklumat berhubung sebarang penyelewengan berkait penukaran status tanah rizab Melayu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini terdapat laporan diterima di Perak.

Menurutnya, SPRM belum ada maklumat kes sedemikian membabitkan negeri lain.

"Kes ini terpencil berlaku di Perak. Sekiranya ada laporan dan maklumat yang diterima berhubung penyelewengan hal berkaitan tukar status rizab Melayu kepada 'freehold', ini merupakan kesalahan jenayah dan sudah tentu kita akan jalankan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Azman Adnan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan pengarah urusan sebuah syarikat hartanah berusia 44 tahun direman empat hari untuk siasatan disyaki memberi rasuah pegawai kerajaan berkait tanah Rizab Melayu di Perak seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan Rizab Melayu.

Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan bumiputera di mukim Setiawan, Manjung, Perak.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, Azam turut memaklumkan tiada tindakan diambil SPRM berhubung dua pegawai kanan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung kes rasuah RM1.25 juta.

"Saya nak maklumkan itu adalah kes yang disiasat pihak polis.

"Tindakan proaktif itu adalah amat disanjung dan mereka (dua pegawai) telah dituduh di mahkamah. SPRM tidak akan ambil apa-apa siasatan lanjut berhubung perkara itu," ujarnya.

Pada Selasa, dua tertuduh itu ialah Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik, Asisten Komisioner, Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit, Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Deputi Superintenden, Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai kes terbabit.

Perbuatan itu dipercayai bagi menutup siasatan kes seorang ahli perniagaan berhubung mata wang kripto bagi pembelian senjata api oleh warga Israel, bulan lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!