Padah ubah suai tangki cuba seludup 140 liter petrol

Tangki tambahan yang diubah suai disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang. Bahagian enjin kereta dipandu lelaki berusia 70 tahun yang disita KPDN Kedah.
Tangki tambahan yang diubah suai disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang. Bahagian enjin kereta dipandu lelaki berusia 70 tahun yang disita KPDN Kedah.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Seorang lelaki yang cuba menyeludup 140 liter minyak petrol dengan mengubah suai tangki minyak kereta ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Selasa.

Lelaki tempatan berusia 70 tahun yang menaiki kereta Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan ketika melalui laluan imigresen untuk pemeriksaan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit terdapat sebuah tangki tambahan berisi minyak petrol RON95 dalam anggaran 140 liter.

“Jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM5,337.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kenderaan jenis Proton Waja tersebut, kita dapati tangki minyak kereta tersebut diubah suai sehingga boleh mengisi 140 liter petrol,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pemandu warga tempatan terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

KPDN Kedah memaklumkan, kes berkenaan dikesan dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia Kedah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.

Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana mempunyai dalam milikan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah, bahawa suatu kesalahan dilakukan berhubung barang kawalan iaitu urusniaga tanpa lesen sah.

Artikel Berkaitan:

KPDN Kedah turut menasihatkan pengguna agar melaporkan sebarang aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi melalui saluran yang disediakan, antaranya WhatsApp 019-848 8000, aplikasi EZ ADU KPDN atau talian Hotline KPDN 1-800-886-800.

Aduan juga boleh dilakukan ke pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745 pada waktu pejabat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!