Lori isi minyak lama, bongkar kegiatan seleweng diesel

Tangki yang diubah suai ditemukan dalam pemeriksaan sebuah lori di sebuah stesen minyak dekat Jalan Jelapang, Ipoh, Jumaat lalu.
Tangki yang diubah suai ditemukan dalam pemeriksaan sebuah lori di sebuah stesen minyak dekat Jalan Jelapang, Ipoh, Jumaat lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan pemandu sebuah lori mengisi minyak dalam tempoh yang lama selain mencurigakan membongkar kegiatan penyelewengan diesel menerusi tangkapan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Jelapang, Ipoh, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, serbuan dijalankan menerusi Ops Tiris 3.0 kira-kira jam 4 petang itu berdasarkan hasil risikan sebelum ini.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 1,700 liter diesel dalam sebuah tangki tambahan yang terletak di ruangan muatan lori tersebut.

"Tangki berkenaan didapati bersambung dengan tangki asal kenderaan itu selain beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

"Rampasan dan sitaan kemudiannya dijalankan melibatkan lori berkenaan berserta tangki tambahan mengandungi diesel, hos paip, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain dianggarkan berjumlah RM23,655," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, selain itu, tangkapan turut dijalankan terhadap seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu lori terbabit.

Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa sebuah lori yang ditahan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Jelapang, Ipoh, Jumaat lalu.
Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa sebuah lori yang ditahan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Jelapang, Ipoh, Jumaat lalu.

"Suspek berumur 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan.

"Tangki tambahan ini akan diisi dengan diesel yang dibeli daripada beberapa buah stesen minyak sebelum dikumpulkan.

"Sindiket kemudian akan menjual diesel berkenaan dan mengedarkannya untuk pasaran gelap berdasarkan permintaan," katanya.

Tambahnya, mana-mana individu atau syarikat diingatkan agar mematuhi perundangan yang ditetapkan.

"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

"Selain itu, syarikat yang didapati terlibat turut akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613]," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!