Penunggang motosikal maut selepas 11 hari bertarung nyawa

Toyota Innova dan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 20 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang pada 17 Mei lalu. Foto PDRM
Toyota Innova dan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 20 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang pada 17 Mei lalu. Foto PDRM
A
A
A

JEMPOL - Seorang penunggang motosikal maut selepas 11 hari bertarung nyawa di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah akibat kecederaan parah dialami dalam kemalangan di kilometer 20 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan kira-kira jam 1.15 tengah hari itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dengan motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang mangsa berusia 18 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu MPV iaitu lelaki berumur 44 tahun dari arah Kuala Pilah menuju ke Simpang Pertang telah memperlahankan kenderaannya sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Lalu datang penunggang motosikal telah melanggar dari arah belakang sebelah kiri MPV terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Chang Hook berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan awal di Hospital Jempol manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun, pada jam lebih kurang 8.20 malam semalam (Isnin) mangsa telah disahkan meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN," katanya.

Menurut Chang Hook, siasatan kes masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Justeru, saksi kejadian diminta tampil supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!