LFL perlu pertimbang semula pendirian, libat diri dialog konstruktif

Kenyataan media CLJ pada Isnin
Kenyataan media CLJ pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Laywers For Liberty (LFL) perlu mempertimbangkan semula pendirian mereka berhubung kenyataan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) pada Khamis serta melibatkan diri dalam perbincangan dialog konstruktif.

Concerned Lawyers for Justice (CLJ) dalam satu kenyataan berkata, saranan itu bertujuan bagi memastikan LFL menghormati rangka kerja perlembagaan dan mencapai objektif sosio-ekonomi.

Menurut kenyataan tersebut, CLJ mengesahkan sokongannya terhadap pendirian JKNCR UA mengenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menggesa supaya perbincangan lebih menyeluruh dan seimbang mengenai isu berkenaan dapat dilaksanakan.

“CLJ percaya bahawa hanya melalui pemahaman dan kerjasama sedemikian maka semua pihak boleh terus bekerja ke arah Malaysia yang lebih adil serta saksama.

“Adalah mengecewakan untuk menyaksikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkemuka seperti LFL, yang telah menjadi antara pendukung utama menentang pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia, mengambil pendirian yang salah dalam tafsiran Perlembagaan mereka dan mengabaikan realiti sosio-ekonomi serta faktor sejarah yang memerlukan dasar-dasar tindakan afirmatif bagi menolong penduduk Bumiputera Malaysia secara amnya.

“Adalah penting untuk mengakui bahawa peruntukan di bawah Perkara 153 bukanlah mengenai peruntukan pengecualian semata-mata tetapi tentang menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan peluang yang saksama bagi semua rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Pada Khamis, JKNCR UA yang terdiri daripada 20 Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menyokong pendirian UiTM untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pada Sabtu, LFL menyelar kenyataan JKNCR UA dan menyifatkan tindakan memetik Perlembagaan Persekutuan sebagai alasan untuk mengecualikan pelajar bukan Bumiputera daripada mendaftar di UiTM berulang kali adalah salah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ujar kenyataan tersebut, pendirian dibawa oleh LFL berhubung isu berkenaan membawa kepada salah tafsir semangat dan intipati Perkara 153 Perlembagaan.

“Dengan mengatakan bahawa tiada asas perlembagaan untuk polisi kemasukan khusus Bumiputera UiTM, LFL mengabaikan konteks sejarah dan duluan undang-undang yang menyokong penyediaan hak-hak dan keistimewaan khas kepada Bumiputera sebagai cara untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi dan pendidikan.

“Tambahan lagi, tafsiran yang diberikan oleh LFL terhadap Perkara 12 mengenai larangan diskriminasi dalam pendidikan untuk membenarkan pendirian mereka adalah tidak tepat sama sekali,” ujarnya.

Menurutnya, kenyataan LFL bahawa tidak ada apa-apa dalam Perkara 153 Perlembagaan yang menghalang atau melarang kemasukan bukan Bumiputera ke UiTM adalah tidak benar dan mengelirukan.

“Perkara 153(8A) secara jelas menyediakan peruntukan untuk kuota dalam perkhidmatan, permit, biasiswa, dan keistimewaan pendidikan bagi Bumiputera.

“Ini jelas merangkumi penubuhan institusi pendidikan untuk orang Melayu dan Bumiputera lain yang ketinggalan daripada segi ekonomi dan sosial,” jelas kenyataan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!