KKDW sasar lima siri PKD Mobile tahun ini

Rubiah (tengah) bersama Syed Ibrahim (kanan) menyantuni reruai yang mengambil bahagian PKD Mobile di Kuala Tahan, Jerantut, pada Jumaat.
Rubiah (tengah) bersama Syed Ibrahim (kanan) menyantuni reruai yang mengambil bahagian PKD Mobile di Kuala Tahan, Jerantut, pada Jumaat.
A
A
A

JERANTUT - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan untuk menganjurkan lima siri Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile pada tahun ini berikutan sambutan baik yang diterima daripada komuniti terlibat.

Dua siri PKD Mobile telah dilaksanakan pada tahun ini iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan dan terbaharu di Kuala Tahan, di sini selama tiga hari bermula Jumaat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, setakat ini lokasi PKD yang dikenal pasti ialah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Pada tahun 2024, program ini akan terus dilaksanakan kerana terbukti mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat setempat di tiga lokasi yang telah dilaksanakan iaitu di Gerik, Perak, Nabawan, Sabah dan Kota Samarahan, Sarawak.

"Selain PKD Mobile, kementerian turut merancang melaksanakan lima lagi Mini PKD Mobile yang mana Mini PKD Mobile ini dilaksanakan mengikut konsep yang sama dengan PKD Mobile tetapi pada skala lebih kecil dan lokasi program juga lebih jauh dari bandar atau di pedalaman," katanya.

Rubiah (depan, tengah) bergambar kenangan bersama orang ramai yang hadir pada program berkenaan.
Rubiah (depan, tengah) bergambar kenangan bersama orang ramai yang hadir pada program berkenaan.

Beliau ditemui selepas perasmian Program PKD Mobile di Kompleks Tempat Letak Kereta Kuala Tahan,di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun.

Artikel Berkaitan:

Ujar Rubiah lagi, bagi memastikan peranan PKD di kawasan luar bandar terus diperkasa, sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan tahun ini di bawah peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Jelas beliau, bagi tempoh RMK12, iaitu dari tahun 2021 hingga akhir April 2024, sebanyak 19,736 program telah dilaksanakan oleh PKD di seluruh negara ataupun sebelum ini dikenali Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang telah memanfaatkan kira-kira 565,531 orang penduduk luar bandar di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini terdapat 191 buah PKD di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Bagi PKD di negeri Pahang, sejak tempoh terbabit, sebanyak 1,703 program telah dilaksanakan oleh PKD Pahang yang telah memanfaatkan kira-kira 72,432 orang penduduk luar bandar," jelasnya terdapat 20 PKD di negeri tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kementerian telah mengambil tindakan membuat penggantian komputer-komputer dan alatan ICT lain serta penyaman udara di PKD terlibat.

"Insya-ALLAH pada tahun ini sebanyak kira-kira RM1 juta diperuntukkan untuk menggantikan meja-meja yang telah sekian lama tidak diganti.

"Kesemuanya adalah demi memberi keselesaan kepada penduduk penduduk di komuniti luar bandar semasa mendapatkan perkhidmatan di PKD," tambah beliau.

Sementara itu, mengulas program PKD Mobile di sini, beliau memberitahu pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang tiga hari penganjurannya melibatkan 17 agensi.

"Biasanya satu hari sahaja tapi di sini selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan disediakan.

"Tidak cukup dengan itu, di atas keprihatan Kerajaan Madani juga, atas dasar untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat maka hari ini dibawakan kepada kita Jualan Rahmah yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan FELCRA Berhad," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!