'Kantoi' jual kanta lekap 'haram'

Muralitharan (tengah) menunjukkan kanta lekap tidak berdaftar yang dirampas MDA daripada sebuah syarikat menerusi serbuan pada 20 Mei lalu. Foto: HISYAMUDDIN AYUB
Muralitharan (tengah) menunjukkan kanta lekap tidak berdaftar yang dirampas MDA daripada sebuah syarikat menerusi serbuan pada 20 Mei lalu. Foto: HISYAMUDDIN AYUB
A
A
A

CYBERJAYA - Sebuah syarikat yang telah dibatalkan lesen perniagaan November lalu sekali lagi diserbu pihak berkuasa apabila masih berdegil menjual kanta lekap 'haram'.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr Muralitharan Paramasua berkata, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu syarikat sama enam bulan lalu.

Namun begitu kata beliau, syarikat tersebut tetap beroperasi dengan menjual kanta lekap dan air pembersih kanta lekap yang tidak berdaftar.

"Dalam serbuan kali kedua ini pada 20 Mei, sebanyak 150,000 kanta lekap pelbagai jenama tidak berdaftar telah dirampas, manakala jumlah hampir sama turut dirampas pada November lalu.

"Meskipun telah dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan, syarikat ini masih tetap beroperasi.

"Ini merupakan kesalahan serius kerana menjual produk tidak berdaftar di bawah MDA dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pasca Pasaran dan Penguatkuasaan MDA, Idamazura Idris.

Ia merupakan rampasan terbesar dengan nilai yang dianggarkan berjumlah RM700,000.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muralitharan berkata, syarikat tersebut yang telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjual kanta lekap yang mempunyai pendaftaran sah bersama produk yang tidak didaftarkan.

Harga kanta lekap tidak berdaftar yang dijual oleh syarikat ini sekitar RM9 dan RM10. Foto: HISYAMUDDIN AYUB
Harga kanta lekap tidak berdaftar yang dijual oleh syarikat ini sekitar RM9 dan RM10. Foto: HISYAMUDDIN AYUB

Beliau berkata, ekoran modus operandi yang dilakukan itu, pihak berkuasa tidak dapat mengesan kesalahan dilakukan.

Namun begitu katanya, pihak MDA mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan dilakukan.

Ditanya mengenai produk tidak berdaftar tersebut, beliau berkata, produk dipercayai dibawa masuk secara haram ke negara ini.

Menurutnya, tanpa sebarang label pada produk dibawa masuk, pihak syarikat kemudiannya akan meletakkan label yang dibuat sendiri.

"Harga kanta lekap tidak berdaftar yang dijual oleh syarikat ini sekitar RM9 dan RM10.

"Ia jauh lebih murah daripada harga pasaran, namun tahap keselamatan dan ketulenan adalah tidak dapat dipastikan kerana ia tidak didaftarkan dengan MDA," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!