X

Kindly register in order to view this article
!

Shafie terima keputusan PRK Kimanis, ia pilihan rakyat

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA BELUD - Walaupun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam tidak memihak kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) namun kerajaan akan terus memberi bantuan kepada rakyat di kawasan berkenaan, kata Ketua Menteri yang juga presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi di Kimanis yang telah memberi sokongan kepada Parti Warisan iaitu lebih 10,000 undi dan kita akan teruskan bantuan selaku kerajaan.

"Kita tahu rakyat juga memerlukan bantuan dan sokongan daripada pihak kerajaan dan kita masih lagi jadi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Krismas dan Tahun Baru Kadamaian, perasmian Kadamaian Square serta pelancaran Pelan Pembangunan Kadamaian di Kota Belud di sini hari ini.

Menurutnya, beliau menerima keputusan PRK itu kerana ia adalah keputusan pengundi di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kekalahan itu, Mohd Shafie berkata, post mortem akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan kekalahan parti Warisan.

Semalam, keputusan PRK itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis selepas calonnya Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada parti Warisan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilaporkan berkata, parti itu akan melakukan post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan dan pandangan rakyat Sabah terhadap pemerintahan kerajaan.

PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!