Pochettino angkat kaki dari Chelsea

Pochettino
Pochettino
A
A
A

MAURICIO Pochettino akhirnya meninggalkan Chelsea atas persetujuan bersama selepas satu musim setelah meletakkan kelab barat London tersebut dalam kelompok enam terbaik berbanding ke-12 Liga Perdana Inggeris (EPL) pengendali sebelum ini.

Pochettino menyertai Chelsea menjelang kempen 2023/24 apabila menggantikan pengendali sementara Frank Lampard ketika pemilik baharu kelab itu Todd Boehly dan Clearlake Capital berusaha untuk menyegarkan lagi keadaan The Blues selepas prestasi hambar musim sebelumnya.

Dia menandatangani kontrak dua tahun, dengan kelab itu mempunyai pilihan untuk setahun lagi, tetapi pengendali berusia 52 tahun itu kini meninggalkan kelab tersebut selepas berjaya mengharungi kempen bergelora untuk menduduki tempat keenam sekaligus memastikan slot bola sepak Eropah musim depan.

Musim ini, Chelsea juga mara ke perlawanan Piala Liga, tewas kepada Liverpool selepas masa tambahan di Wembley, dan separuh akhir Piala yang menyaksikan ditewaskan Manchester City.

Pochettino, mengambil keputusan meninggalkan Stamford Bridge selepas mengadakan perbincangan dengan pengarah sukan bersama kelab, Laurence Stewart dan Paul Winstanley, dan pemilik bersama Behdad Eghbali.

Perpisahan itu difahamkan berpunca daripada perbezaan pendapat antara pengendali kelahiran Argentina tersebut dan Chelsea berkenaan hala tuju dan strategi kelab tersebut bagi saingan musim depan.

Pochettino, yang diupah dengan kontrak dua tahun pada musim lalu, difahamkan kecewa dalam percubaan mendapatkan lebih kuasa, menyaksikan beliau mengambil keputusan menamatkan jalinan kerjasama daripada mengambil risiko kemungkinan kemeruduman prestasi Chelsea musim depan.

Biarpun Pochettino mendapat sokongan peringkat Lembaga kelab, namun ia tidak sebulat suara, dengan Eghbali yang dingin terhadap bekas pengurus Tottenham itu.

Artikel Berkaitan:

Chelsea telah mencuba untuk bekerja dengan cara kolaboratif sejak dibeli Todd Boehly dan Clearlake Capital dua tahun lalu, dan mereka akan mencari pengendali muda progresif yang bersedia untuk menghayati budaya kerja pemilik kelab.

Situasi di Stamford Bridge bermakna pemilik Clearlake Capital-Todd Boehly sedang mencari pengendali tetap ketiga dalam masa dua tahun selepas membeli Chelsea daripada juta Wan Russia Roman Abramovich.

Sementara itu, Kieran McKenna, yang mengilhamkan kenaikan luar biasa kelab Liga Kejuaraan bajet kecil, Ipswich Town ke EPL, muncul antara watak dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan Pochettino, ketika Brighton giat melorongkan mahu pengendali berusia 38 tahun tersebut menggantikan Roberto De Zerbi.

Selain itu nama lain yang sedang dipertimbangkan termasuk Thomas Frank (Brentford), Míchel (Girona), Enzo Maresca (Leicester City) dan Sebastian Hoeness (VfB Stuttgart) selain Vincent Kompany (Burnley).

Sementara itu, Stewart dan Winstanley berkata: “Bagi pihak semua orang di Chelsea, kami ingin ucap terima kasih kepada Mauricio atas perkhidmatannya musim ini.

“Dia akan dialu-alukan kembali ke Stamford Bridge pada bila-bila masa dan kami mendoakan yang terbaik dalam karier kejurulatihannya pada masa depan."

Sementara itu, Pochettino berkata: “Terima kasih kepada pemilik Chelsea dan pengarah sukan atas peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab bola sepak ini.

“Kelab itu kini berada pada kedudukan yang baik untuk terus mara ke hadapan dalam Liga Perdana Inggeris dan Eropah pada tahun-tahun akan datang.”

Kakitangan Pochettino, Jesús Pérez, Miguel d'Agostino, Toni Jiménez dan Sebastiano Pochettino juga mengikuti jejak langkah meninggalkan bumi London

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!