Penumpang SIA maut, pesawat alami gelora udara teruk

Seorang penumpang maut selepas penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura menghadapi gelora udara yang teruk. Gambar fail
Seorang penumpang maut selepas penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura menghadapi gelora udara yang teruk. Gambar fail
A
A
A

SINGAPURA - [DIKEMASKINI] Seorang maut dan sejumlah penumpang cedera selepas pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura menghadapi gelora udara yang teruk dalam penerbangan, menurut syarikat penerbangan itu.

SIA berkata, pesawat Boeing 777-300ER yang membawa sejumlah 211 penumpang dan 18 anak kapal telah dilencongkan ke Bangkok dan mendarat pada jam 3.45 petang waktu tempatan pada hari Selasa.

"Singapore Airlines merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia. Kami akan memberikan kemas kini berkala di akaun Facebook dan X kami," katanya di Facebook.

SIA berkata, keutamaan mereka adalah untuk memberikan segala bantuan yang boleh kepada semua penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu.

Syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan dan menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.

"Saya amat bersedih mendengar tentang insiden di atas penerbangan Singapore Airlines SQ321 dari London Heathrow ke Singapura," kata Menteri Pengangkutan, Chee Hong Tat di laman Facebook beliau.

Hong Tat berkata, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Singapura, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan pegawai-pegawai Lapangan Terbang Changi serta petugas SIA sedang memberikan bantuan kepada penumpang yang terjejas dan keluarga mereka.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Singapore Airlines dalam satu kemas kini pada laman Facebooknya berkata pada jam 7.50 malam waktu Singapura, 18 penumpang telah dimasukkan ke hospital sementara 12 lagi menerima rawatan di hospital.

"Baki penumpang dan kru sedang diperiksa dan diberi rawatan yang perlu di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok," katanya dalam hantaran di Facebook.

Singapore Airlines juga telah membuka talian penting bagi waris penumpang untuk mendapatkan maklumat di talian +65 6542 3311. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!