Ejen insurans didakwa rompak, cederakan lelaki

Anggota polis membawa Mohammad Hasbullah (tengah) ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan merompak dan mencederakan seorang lelaki, dua bulan lalu.
Anggota polis membawa Mohammad Hasbullah (tengah) ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan merompak dan mencederakan seorang lelaki, dua bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan merompak dan mencederakan seorang lelaki, dua bulan lalu.

Mohammad Hasbullah Mustafa Kamal, 33, yang memakai baju T berwarna merah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak dan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang lelaki berusia 27 tahun, di hadapan sebuah kedai makan di Manjalara, Kepong di sini pada jam 1 petang, 23 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan, tidak menganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam, Azlin Zulkifli berkata, anak guamnya telah direman selama dua minggu dan memohon mahkamah memberi ikat jamin pada kadar minimum kerana Mohammad Hasbullah perlu menyara isteri yang juga seorang surirumah serta dua anak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, seorang wanita berusia 23 tahun bersama teman lelakinya berjalan di kaki lima kedai, namun diragut seorang penunggang motosikal.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, teman lelaki mangsa berjaya membonceng motosikal terbabit, namun suspek bertindak memecut kenderaan itu sehingga teman lelaki pengadu terjatuh, terhentak kepala serta patah kaki kanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!