Ziarah Rahmah berjaya temui lebih 800 jemaah, 500 bilik

Dr Asraf turut memberi taklimat kesihatan kepada jemaah haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah.
Dr Asraf turut memberi taklimat kesihatan kepada jemaah haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah.
A
A
A

MAKKAH - Bagi memberikan perkhidmatan terbaik dalam aspek kesihatan, Tabung Haji (TH) mengadakan program Ziarah Rahmah iaitu lawatan dari bilik ke bilik untuk memeriksa keadaan kesihatan jemaah haji.

Penyelaras Operasi (Unit Kesihatan Awam), Petugas TH, Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata, setakat ini, program Ziarah Rahmah di Makkah dan Madinah, pihaknya telah pergi lebih 500 bilik dan berjaya menemui lebih 800 jemaah haji.

Menurutnya, program itu membantu mengesan lebih awal masalah kesihatan yang dihadapi jemaah haji bagi mengelak ia menjadi bertambah serius.

Pasukan perubatan sedang menemui jemaah haji lelaki bagi bertanyakan tahap kesihatan mereka.
Pasukan perubatan sedang menemui jemaah haji lelaki bagi bertanyakan tahap kesihatan mereka.

“Ziarah Rahmah sudah bertahun dilaksanakan, respons kita terima daripada jemaah haji, mereka sebenarnya sangat menghargai kerana peluang seperti ini mereka dapat bertanya secara langsung kepada pasukan perubatan.

“Setakat ini, Ziarah Rahmah di Makkah dan Madinah kami telah pergi lebih 500 bilik dan lebih 800 jemaah,” katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Rahmah di Hotel Abraj Al-Janadriayah, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil peluang menyampaikan pendidikan kesihatan dalam memastikan jemaah haji sihat untuk berwukuf di Arafah, kemuncak kepada ibadat haji.

Menurutnya, masalah utama yang sering dihadapi jemaah adalah keperluan mengambil air kerana ada di antara jemaah masih kurang jelas berapa banyak jumlah air yang perlu diambil dan ada jemaah yang takut jika minum banyak air mereka perlu ke kerap ke tandas.

Artikel Berkaitan:

Program Ziarah Rahmah pada tahun ini turut disertai oleh pakar fisioterapi.
Program Ziarah Rahmah pada tahun ini turut disertai oleh pakar fisioterapi.

“Selain itu, terdapat juga masalah seperti sendi dan otot apabila berjalan ke masjid, kulit kaki mengelupas dan juga masalah bagaimana nak teruskan ubatan mereka di Tanah Suci.

“Kami akan memberikan nasihat yang ringkas kepada jemaah termasuk faktor cuaca, bagaimana hendak mengambil air dan macam mana nak elak daripada kelesuan haba serta bagaimana nak elak dari terkena jangkitan saluran pernafasan,” katanya.

Program Ziarah Rahmah pada tahun ini turut disertai oleh pakar fisioterapi yang berkongsi tips dan nasihat dengan jemaah haji tentang cara senaman yang boleh dilakukan untuk kekal cergas.

Asraf berkata, senaman ringkas perlu dilakukan setiap hari oleh setiap jemaah untuk mengelakkan masalah seperti sakit otot dan sendi.

"Selalunya jemaah haji di Tanah Suci, mereka perlu melakukan perjalanan yang lebih jauh daripada kebiasaan di Malaysia. Untuk itu, pegawai fisio memberikan sedikit nasihat mengenai senaman ringkas yang boleh dilakukan kepada jemaah haji.

"Kita akan tunjukkan contoh senaman tersebut khususnya untuk jemaah yang mengalami masalah sendi dan otot. Unit fisioterapi ini kebiasaannya akan menyertai Ziarah Rahmah ini jika mereka kelapangan, kerana fisio pun mempunyai klinik sendiri di sini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!