Helikopter terhempas: Nasib Presiden Iran belum diketahui

Helikopter yang dinaiki Raisi ketika berlepas di sempadan Iran-Azerbaijan sebelum ia dilaporkan terhempas. Foto IRNA via Reuters
Helikopter yang dinaiki Raisi ketika berlepas di sempadan Iran-Azerbaijan sebelum ia dilaporkan terhempas. Foto IRNA via Reuters
A
A
A

DUBAI - Nasib Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya yang terlibat dalam nahas sebuah helikopter ketika melintasi kawasan pergunungan dalam kabus tebal masih belum diketahui.

Seorang pegawai berkata, nyawa Raisi dan Hossein Amirabdollahian berada dalam risiko berikutan nahas itu.

Laporan awal menyatakan Raisi dalam perjalanan pulang dari lawatan ke sempadan Azerbaijan di barat laut Iran.

Pegawai itu menambah, pihaknya meletakkan harapan yang tinggi namun maklumat yang diterima dari tapak nahas sangat membimbangkan.

TV kerajaan memetik seorang pegawai berkata, sekurang-kurangnya seorang penumpang dan seorang anak kapal telah berhubung dengan pasukan penyelamat.

Ia juga berkata, helikopter itu telah ditemui walaupun pasukan Bulan Sabut Merah Iran menafikan laporan ini.

Persatuan Bulan Sabut Merah Azerbaijan berkongsi rakaman menunjukkan pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Cuaca buruk telah menyukarkan lagi usaha menyelamat, lapor agensi berita negara IRNA.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun maklumat dan lokasi SAR berkenaan tidak dapat disahkan secara tepat.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berusaha untuk meyakinkan rakyat Iran bahawa urus tadbir negara tidak terjejas.

Ayatollah Ali Khamenei ketika berucap pada Ahad di Tehran, Iran. Foto AP
Ayatollah Ali Khamenei ketika berucap pada Ahad di Tehran, Iran. Foto AP

Orang ramai turut dilihat berkumpul di ibu negara Iran, Tehran bagi bersama-sama melakukan solat hajat dan berdoa susulan insiden nahas helikopter berkenaan.

Rakyat Iran terus mendoakan kesejahteraan Raisi dan bersedia dengan apa jua kemungkinan.

Sementara itu, media kerajaan berkata, cuaca buruk menjadi punca nahas sekali gus merumitkan usaha menyelamat.

Orang ramai dilihat mengaminkan doa untuk keselamatan Raisi di Dataran Vali-e-Asr di Tehran, Iran pada Ahad. Foto AP
Orang ramai dilihat mengaminkan doa untuk keselamatan Raisi di Dataran Vali-e-Asr di Tehran, Iran pada Ahad. Foto AP

Agensi berita negara IRNA berkata, Raisi menggunakan helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat (AS) dalam lawatan kerja itu.

Ketua kakitangan tentera Iran mengarahkan semua sumber tentera dan Pengawal Revolusi Elit digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Penyiar nasional itu sebelum ini menghentikan semua rancangan tetapnya bagi menyiarkan bacaan doa.

Dalam pada itu, White House berkata, Presiden AS, Joe Biden telah diberi taklimat mengenai nahas itu.

Sementara Turki berkata, ia telah menawarkan dron, helikopter, kenderaan dan pasukan penyelamat selepas menerima permintaan daripada pihak berkuasa Iran.

Malah Kesatuan Eropah menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi berada di dalam helikopter yang dinaikinya sebelum terhempas di sempadan Iran dengan Azerbaijan, lapor akhbar The Sun UK pada Ahad. Dalam klip video tersebut, pemimpin itu dilihat memandang ke luar tingkap, manakala seorang anggota delegasi tidak dikenali duduk bertentangan dengannya. Raisi berada di dalam helikopter tersebut sebelum ia dilaporkan terputus hubungan pada Ahad ekoran cuaca berkabus serta hujan menyukarkan operasi mencari dan menyelamat. Pegawai-pegawai Iran memberi amaran bahawa nyawa Raisi ibarat di hujung tanduk ketika sekutu-sekutu Tehran termasuk Rusia menghantar bantuan untuk operasi menyelamat. Terdahulu, Raisi, 63, berada di wilayah Azerbaijan untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasim. Raisi berlepas bersama Gabenor wilayah Azerbaijan Timur dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dalam konvoi disertai tiga buah helikopter. Dua daripada helikopter itu selamat mendarat di destinasinya, namun Raisi dilaporkan hilang. #fyp#SinarHarian#SinarTerkini#PresidenIran#EbrahimRaisi original sound - Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!