Pengarah syarikat didakwa tipu Tan Sri projek pembekalan RM1.5 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu seorang pesara swasta bergelar Tan Sri, berhubung projek pembekalan bahan-bahan keperluan Petronas mencecah RM1.5 juta tahun lalu.

Yusmadi Yusof@Othman, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa menipu seorang lelaki berusia 68 tahun, dengan memperdayakannya bagi mendapatkan keuntungan dalam projek pembekalan bahan-bahan keperluan di Petronas Kemaman, Terengganu sedangkan tertuduh mengetahui bahawa tiada sebarang surat kelulusan diperoleh daripada pihak Petronas.

Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa menyerahkan wang terbabit kepada tertuduh yang mana lelaki berkenaan tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan di sebuah pejabat peguam di Damansara Heights pada 10 Januari 2023 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalzatul Mohamed Nawi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000.

Bagaimanapun, Yusmadi yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana mempunyai masalah kesihatan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 21 Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!