X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran menakutkan buat PH, Warisan

Mohamad bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenderaan ke pusat pengumuman keputusan PRK Kimanis malam tadi.
A
A

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah, Datuk Mohamad Alamin memberi isyarat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan Parti Warisan Sabah yang menguasai kerajaan negeri Sabah bahawa mereka berisiko berdepan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Majoriti diperoleh BN kali ini lebih besar iaitu 2,029 undi berbanding undi majoriti yang dimenangi bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman pada PRU14 sebanyak 156 undi.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang terpaksa menerima kekalahan tersebut dengan jumlah undi sebanyak 10,677. Pada PRU-14, Karim mendapat sebanyak 11,786.

Dengan keputusan tersebut, Sabah tidak boleh lagi dianggap sebagai deposit tetap kepada PH dan Warisan yang sebelum ini pernah dinikmati oleh BN.

Kekalahan kepada BN pastinya satu tamparan hebat buat Warisan kerana parti itu merupakan kerajaan yang mentadbir negeri dengan mempunyai segala kekuatan jentera pilihan raya selain dibantu oleh jentera PH dari Semenanjung.

Ia juga satu manifestasi terhadap dasar dan pendekatan kerajaan Persekutuan dan negeri berkaitan isu ekonomi mikro rakyat seperti kenaikan kos sara hidup serta pengecilan bantuan kepada kumpulan yang memerlukan.

Pengalaman yang dimiliki BN ketika mentadbir kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah berjaya membawa BN menjuarai isu setempat rakyat lebih-lebih lagi soal Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijadikan sebagai senjata ampuh sepanjang 15 hari berkempen.

Bagi pemerhati politik di Sabah, isu PSS dan imigran berjaya dimanipulasikan oleh BN sehingga menimbulkan rasa gerun bukan sahaja kepada penduduk Kimanis, malah rakyat negeri Sabah secara keseluruhan.

Ia merupakan isu sensitif yang dilihat menikam Warisan sejak kempen PRK bermula sehingga memaksa Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi watak utama dalam menjelaskan niat dan tujuan asal PSS mahu dilaksanakan.

Biarpun turut dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pemegang PSS masih dikategorikan sebagai warga asing tanpa dokumen perjalanan dan tidak layak untuk memohon permit masuk, taraf pemastautin tetap dan kewarganegaraan namun ia gagal melegakan hati pengundi.

Menurut penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, isu PSS sememangnya menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan rakyat Sabah kerana merasakan ia bakal menjejaskan kehidupan mereka baik dari sudut ekonomi mahupun sosial.

“Walaupun dari satu sudut PSS itu menggunakan satu sistem yang lebih berkesan namun BN berjaya menjadikan ia isu untuk mempengaruhi pengundi,” katanya.

Katanya, kemenangan BN mempertahankan kerusi itu turut disumbang oleh kegagalan PH menunaikan perkara-perkara yang dekat dengan rakyat dalam manifesto yang memberi kesan ekonomi secara langsung kepada rakyat Sabah.

“Isu di peringkat Persekutuan yang dekat dengan rakyat telah sampai ke Sabah dan Warisan sebagai kerajaan yang menyokong PH telah dihukum. Ini turut digambarkan dengan dasar kerajaan negeri dalam soal pembangunan dan ekonomi gagal dirasai oleh rakyat.

“Rakyat Sabah melakukan perubahan pada PRU14 kerana mereka mahu mendapatkan kehidupan lebih baik tetapi perubahan itu terlalu perlahan malah ada peruntukan pembangunan dan elaun dikurangkan jumlahnya. Ada juga jumlah penerima bantuan telah dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Univeristi Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, kejayaan BN mengekalkan kerusi Kimanis membuktikan sokongan tulen daripada akar umbi yang diterima parti itu.

Berhijrah

“Ia membuktikan pengundi tidak terikut atau memberikan undi kepada pemimpin yang dahulunya dalam BN tetapi kini telah berhijrah menyertai Warisan. Ini bermakna pengundi telah menyuarakan perasaan dan isi hati mereka melalui undi.

“BN juga membuktikan mereka berjaya menjadi pembangkang yang berkesan di saat menghadapi pelbagai cabaran termasuklah pemimpinnya menghadapi perbicaraan di mahkamah. BN melakukan gerak kerja lebih baik selaku pembangkang berbanding sewaktu menjadi kerajaan,” katanya.

Ujarnya, keunikan politik Sabah turut menjadi kayu ukur kepada pemulihan sokongan rakyat kepada BN dalam masa yang singkat selepas PRU14.

“Selain berjaya mencipta isu untuk mempengaruhi pengundi, rakyat telah membuat perbandingan mengenai prestasi kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan Warisan di Sabah.

“Umum mengetahui kredibiliti PH sedikit tercalar kerana pelbagai isu terutama soal ekonomi yang menyentuh semua rakyat di setiap negeri di Malaysia.

“Benar berlaku pertumbuhan ekonomi negara tetapi di peringkat bawah rakyat terus terhimpit dengan isu kos sara hidup, harga barang naik dan bantuan yang dikurangkan,” katanya.

Menurut Md Shukri, kemenangan itu turut memperlihatkan rakyat Sabah mengenang kembali jasa BN sewaktu menjadi kerajaan melalui dasar dan polisi yang berkesan.

“Ia berbeza dengan kerajaan hari ini yang bercakap soal ketelusan dan integriti tetapi rakyat tidak merasainya. BN dilihat lebih berkesan menjuarai isu rakyat di peringkat akar umbi. Parti kerajaan PH perlu mengambil iktibar mengenai perkara ini.

“Pada pandangan saya, UMNO dan BN ini bukan pembangkang biasa kerana mereka mempunyai pengalaman tentang selok-belok pentadbiran selain menerima sumber maklumat secara langsung atau senyap daripada mereka yang bersimpati,” katanya.

Kemenangan BN itu juga merupakan isyarat kebangkitan rakyat bukan sahaja di Sabah malah di Semenanjung berdasarkan beberapa PRK selepas PRU14 seperti di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

“Kesan PRK yang bermula dari Semenanjung sehingga ke Sabah disifatkan lebih menyeluruh membawa suara protes rakyat. Timbul persoalan bagaimana PH mahu menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang mungkin berlangsung hujung tahun ini atau awal 2021?,” tanya Md Shukri.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu, menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Kimanis pada PRU ke-14 lalu tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu dibuat selepas hakim mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.Karim telah memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah pada PRU-14.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau tidak dapat menahan air mata kerana kemenangan itu adalah sangat manis selepas 19 bulan UMNO Sabah hancur.

“Ya saya dan Bung menangis kerana sejak 19 bulan lalu UMNO Sabah hampir musnah apabila kami kehilangan 16 Ahli Dewan Undangan Negeri, enam Ahli Parlimen dan 25 Ketua Bahagian kerana keluar parti.

“Tiada siapa memberikan kami peluang. Tiada siapa percaya kepada kami. Tetapi pada hari ini ada kemenangan yang cukup manis. ALLAH Maha Besar,” katanya.