Zii Jia, Jun Hao lepasi halangan pertama terbuka Thailand

Lee Zii Jia. Foto Agensi
Lee Zii Jia. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melepasi halangan pertama dalam misi memburu gelaran kedua Terbuka Thailand selepas mengiringi rakan senegara Leong Jun Hao mara ke pusingan kedua di Stadium Nimibutr di sini hari ini.

Zii Jia, pemain ranking ke-10 dunia, yang muncul juara edisi 2022 terpaksa bertarung selama 50 minit sebelum mengatasi wakil China, Lei Lan Xi 21-17, 23-1 manakala Jun Hao terpaksa bermandi peluh untuk menyingkirkan pemain Taiwan Su Li Yang 14-21, 21-15, 21-17 dalam masa 66 minit.

Zii Jia, bekas juara All England itu berdepan dengan pemain Korea Selatan Jeon Hyeok Jin manakala Jun Hao akan bertemu pilihan keempat dan bekas juara dunia serta pilihan tuan rumah Kunlavut Vitidsarn bagi perebutan tempat ke suku akhir esok.

Zii Jia berkata, beliau gembira dapat melangkah ke pusingan kedua dan akan bersedia menghadapi perlawanan getir esok.

"Walaupun telah menewaskan Hyeok Jin tahun lepas...saya tidak mahu mengambil mudah dan mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin,”katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.

Pilihan keenam kejohanan itu, Zii Jia berkata dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini kerana tidak mahu tertekan kerana sasaran utamanya masih temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Junaidi Arif-Yap Roy King mara ke pusingan kedua selepas bangkit daripada ketinggalan set pertama untuk mengejutkan beregu nombor 21 dunia dari Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 21-13, 21-16.

Junaidi berkata, menukar corak permainan mulai set kedua telah meningkatkan keyakinan mereka untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pasangan ranking ke-64 itu yang muncul naib juara Masters Sepanyol pada Mac lalu akan menetang beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menewaskan beregu muda negara Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe 22-20, 21-12.

Artikel Berkaitan:

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal yang menewaskan pasangan Scotland Christopher Grimley-Matthew Grimley21-16, 21-11 dalam masa 32 minit bagi menempah pertemuan dengan wakil tuan rumah Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga.

Dalam pada itu, tiga lagi beregu lelaki negara terkandas di pusingan pertama iaitu pasangan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, Nur Mohd Azryn Ayub Azryn-Tan Wee Kiong dan Boon Xin Yuan-Goh V Shem.

Dalam acara beregu campuran, Roy King-Valeree Siow mengatasi wakil Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-19, 21-17 dan akan bertemu bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan seterusnya.

Cheong Hon Jian-Go Pei Kee pula mengalahkan wakil tuan rumah, Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 dan akan berdepan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia di pusingan kedua.

Wakil tiunggal negara dalam acara perseorangan wanita, K. Letshanaa gagal melepasi pusingan pertama selepas tewas di tangan pemain ranking ke-16 dunia dari Thailand, Supanida Katethong 12-21, 10-21.

Malaysia tidak menghantar beregu wanita dalam kejohanan itu tahun ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!