Tiada istilah penat kumpul dana untuk hospital

Cheng Teng (tiga dari kanan) menerima anugerah MyHero 4.0 2023 dalam satu majlis anjuran KLSCCCI.
Cheng Teng (tiga dari kanan) menerima anugerah MyHero 4.0 2023 dalam satu majlis anjuran KLSCCCI.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan dari Sabah, Tan Cheng Teng diumumkan sebagai salah seorang daripada enam penerima Anugerah MyHero 4.0 bagi tahun 2023 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).

Cheng Teng, 66, telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membantu mengumpul dana untuk menambah baik peralatan serta kemudahan perubatan di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Lahad Datu ialah sebuah bandar yang tidak mempunyai kemudahan hospital yang lengkap termasuk pusat dialisis di kawasan luar bandar.

“Hospital kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan. Tetapi, apabila hospital itu terletak di kawasan luar bandar, masyarakat setempat tidak seharusnya mengabaikan tanggung- jawab mereka untuk membantu antara satu sama lain.

“Amat menyedihkan jika seseorang kehilangan nyawa kerana kekurangan kemudahan perubatan di hospital,” katanya kepada Sinar Harian.

Usaha Cheng Teng itu telah mendapat penghargaan serta perhatian masyarakat di kawasan Lahad Datu sehingga kakitangan serta pegawai perubatan mengangkatnya sebagai ‘bapa angkat’ hospital berkenaan.

Para petugas Hospital Lahad Datu bergambar bersama-sama Cheng Teng (tengah) sempena penyerahan sumbangan laparoscopic gas insufflator bernilai RM45,000 daripada Dewan Perniagaan Cina Lahad Datu.
Para petugas Hospital Lahad Datu bergambar bersama-sama Cheng Teng (tengah) sempena penyerahan sumbangan laparoscopic gas insufflator bernilai RM45,000 daripada Dewan Perniagaan Cina Lahad Datu.

Ketika pandemik Covid-19, Cheng Teng memainkan peranan mengumpulkan segala sumber untuk membantu petugas barisan hadapan di hospital, pusat kuarantin dan keluarga yang memerlukan dengan menyediakan peralatan perubatan serta perlindungan diri kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Dikenali sebagai seorang yang bersemangat, beliau sentiasa mendekati golongan yang memerlukan tanpa mengira status sosial, bangsa, kepercayaan dan latar belakang mereka.

Malah, Cheng Teng turut mencerminkan keunikan rakyat Malaysia yang menjunjung semangat kesukarelawanan, kerja berpasukan, integrasi kaum serta keamanan sosial.

Dalam pada itu, Cheng Teng menyatakan penghargaannya ke atas KLSCCCI di atas anugerah MyHero 4.0 yang dianggap sebagai satu pengiktirafan terhadap dirinya.

Pada masa sama, beliau meminta supaya lebih banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan dan kebajikan membantu dalam apa cara sekali pun bagi meningkatkan kemudahan perubatan di Hospital Lahad Datu.