Laungan azan iringi pencarian empat pelajar lemas

Salah seorang ahli keluarga melaungkan azan sebagai ikhtiar dalam usaha pencarian empat pelajar PSMZA yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara.
Salah seorang ahli keluarga melaungkan azan sebagai ikhtiar dalam usaha pencarian empat pelajar PSMZA yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara.
A
A
A

DUNGUN - Laungan sayu azan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga mangsa lemas di Pantai Teluk Bidara meruntun hati pasukan penyelamat dan orang ramai pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Ia dilakukan sebagai ikhtiar dalam pencarian empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang dikhuatiri lemas ketika sedang mandi-manda di pantai itu petang semalam.

Sehingga jam 2 petang tadi, mangsa, Muhammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Zul Fahmi Zuki, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee masing-masing berusia 21 tahun masih belum ditemui.

Kelihatan anggota keluarga melaungkan azan di tepi Pantai Teluk Bidara.
Kelihatan anggota keluarga melaungkan azan di tepi Pantai Teluk Bidara.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, radius pencarian mangsa di pantai diperluaskan sehingga 3 batu nautika manakala pencarian di pesisir pantai sejauh 15 kilometer hingga ke Teluk Mayat (Pantai Teluk Gadong).

"Kekuatan anggota dalam SAR hari ini seramai 97 orang terdiri daripada 36 orang dari JBPM, 23 orang dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis (15), Angkatan Pertahanan Awam (10), polis marin (6), Rela (3) dan orang awam (4).

"Selain pencarian di pesisir air, kita juga melakukan pencarian di laut termasuk menggunakan aset kapal daripada APMM, jet ski, dron oleh orang awam dan nelayan tempatan juga membantu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas

Artikel Berkaitan:

Operasi SAR empat pelajar dikhuatiri lemas diteruskan

Jelas Sharikan, keadaan ombak dan air pasang yang semakin besar menyukarkan operasi pencarian di kawasan batu.

Bagaimanapun katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan melakukan selaman di kawasan batu yang tidak berbahaya.

Difahamkan, solat hajat turut dilakukan oleh ahli keluarga, sahabat, pasukan penyelamat dan orang ramai di tapak lokasi pencarian di Pantai Teluk Bidara.

Sharikan (tengah) sewaktu ditemu bual di lokasi kejadian.
Sharikan (tengah) sewaktu ditemu bual di lokasi kejadian.