Wanita disamun ketika urusan tukar wang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita menempuh detik mencemaskan apabila ditumbuk sebelum beg mengandungi wang tunai berjumlah AS$200 miliknya dilarikan seorang individu dekat Jalan Memanda di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan dibuat mangsa berumur 39 tahun berkaitan kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi itu.

"Siasatan dijalankan mendapati ketika kejadian mangsa bersama abangnya dihubungi untuk bertemu dengan suspek dalam sebuah kereta untuk urusan penukaran wang berkenaan kepada Ringgit Malaysia (RM).

"Suspek kemudiannya bertindak merampas beg dan menumbuk mangsa sebelum cuba melarikan diri ke arah kereta yang sedang menunggu di Jalan Besar Ampang," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan suspek itu tidak berjaya selepas diberkas orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

"Suspek berumur 32 tahun yang ditahan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Salah seorang lagi suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari rakannya itu telah ditangkap," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudiannya berjaya membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek merupakan lelaki tempatan berumur 65 tahun ditahan di Jalan Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan berhubung kejadian," katanya.

Mohd Azam berkata, semakan mendapati suspek kedua itu memiliki rekod jenayah lampau.

"Siasatan juga mendapati mangsa sebelum itu dijanjikan akan mendapat imbuhan sekiranya menukar wang sebanyak AS$50,000 kepada ringgit dengan suspek.

"Mangsa bagaimanapun hanya membawa sekitar AS$200 sahaja dalam beg yang dibawa kerana bimbang akan risiko keselamatan," katanya.

Mohd Azam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!