X

Kindly register in order to view this article
!

Kes rogol: 'Datuk Abhy' direman tujuh hari

A
A

KAJANG - Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Datuk Abhy’ direman tujuh hari selepas disyaki terlibat dalam satu kejadian rogol seorang pelajar perempuan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, tempoh reman suspek bermula hari ini sehingga Khamis depan.

"Penahanan lelaki berusia lewat 40-an itu dilakukan selepas pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan suspek yang dipercayai menggunakan aplikasi Bigo Live sebagai modus operandinya bagi memperdayakan mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Terdahulu, lelaki terbabit diberkas polis di rumahnya di Kajang, Selangor semalam selepas disyaki terbabit dalam kejadian rogol dengan memperdaya mangsa menggunakan aplikasi Bigo Live.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9 malam, Selasa lalu oleh seorang pelajar perempuan yang mendakwa dirogol oleh suspek di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, mangsa berusia belasan tahun itu mengenali suspek yang dikenali sebagai Datuk Abhy melalui aplikasi Bigo Live dan menawarkan peluang pekerjaan kepada mangsa sebagai pembantu peribadi, namun suspek mengambil kesempatan dengan merogol mangsa.

Selain itu, Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya percaya suspek turut terlibat dengan beberapa kes rogol lain yang menggunakan modus operandi sama iaitu memerangkap mangsa dengan menawarkan gaji lumayan sebagai pembantu peribadi.

"Kita juga ada menerima satu lagi laporan pada Isnin lalu dipercayai membabitkan suspek dan modus operandi yang serupa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau mana-mana kejadian yang melibatkan modus operandi yang sama boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 019-2299906 atau boleh berhubung dengan mana-mana balai terdekat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus