Kes tembak di Pasir Mas: Mangsa dan suspek saling mengenali

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Polis mendedahkan bahawa mangsa dan suspek kes tembakan di Kampung Alor Pinggan, Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, pada Sabtu saling mengenali, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dan suspek kemungkinan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh sehingga menimbulkan konflik.

Menurutnya, hasil siasatan kes berkenaan telah 80 peratus siap dan mangsa dalam kes ini mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau.

"Kemungkinan suspek juga menyasarkan sepupu mangsa yang berada di rumah itu ketika kejadian kerana kereta jenis Perodua Myvi milik sepupu mangsa banyak mengalami kerosakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Back To School dan Majlis Pelantikan Pemimpin Murid di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, di sini, pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, polis juga percaya dua suspek yang terlibat dalam kes itu masih berada di negeri ini dan kawalan serta pemeriksaan kini diperketatkan.

Beliau berkata, senjata api yang digunakan suspek dipercayai jenis pistol separuh automatik (semi auto) dengan peluru jenis Luger 9 milimeter.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dilaporkan mangsa dan sepupunya yang sedang tidur terjaga ketika kedengaran bunyi empat das tembakan di luar rumahnya kira-kira 3 pagi semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!