Saman fitnah: Mahkamah tolak rayuan bekas Ahli Parlimen Padang Serai

N Gobalakrishnan
N Gobalakrishnan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM150,000 kepada sepasang suami isteri dalam satu saman fitnah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azhahari Kamal Ramli turut mengarahkan Gobalakrishnan agar membayar kos RM15,000 kepada juruterbang Malaysia Airlines iaitu SSelvakumar dan R Indrani, yang merupakan bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat Cawangan Sungai Siput.

Peguam pasangan itu Rueben Mathiavaranam, yang mengesahkan keputusan mahkamah, memaklumkan bahawa Swee Seng berkata Gobalakrishnan dengan jelas telah memfitnah Indrani dan suaminya melalui tiga mesej di aplikasi WhatsApp.

Swee Seng berkata jika Gobalakrishnan mempertikai mesej terbabit, beliau sepatutnya menghubungi syarikat telekomunikasi bagi menunjukkan nombor telefon yang digunakan untuk menghantar komunikasi (fitnah) itu tidak dilakukan melalui nombor telefonnya.

Menurut Rueben, Swee Seng berkata, ini akan menyangkal anggapan penerbitan di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Pada 23 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan saman fitnah pasangan itu terhadap Gobalakrishnan dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada mereka.

Kenyataan tuntutan pasangan itu, yang difailkan pada 7 November 2019, mendakwa Gobalakrishnan telah menghantar mesej WhatsApp bersama-sama gambar mereka dan perkataan fitnah serta nota suara kepada seorang individu.

Mereka memohon, antara lain, ganti rugi am, perintah injunksi bagi menghalang Gobalakrishnan daripada terus menulis atau menerbitkan perkataan fitnah terbabit, faedah atas ganti rugi, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Nur Izzatul Amirah Zawawi mewakili Gobalakrishnan pada prosiding mahkamah hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!