Syed Saddiq tidak ambil hati kena caci

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan mengambil hati atau sebarang tindakan terhadap kakitangan kementerian itu biarpun mereka mengkritik beliau.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, justeru itu beliau mengarahkan pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya tidak mengeluarkan sebarang surat tunjuk sebab kepada seorang pelatih yang mengkritiknya menerusi Twitter.

“Saya dimaklumkan ada pelatih KBS yang menerima surat tunjuk sebab kerana mencaci saya.

“Saya arahkan pegawai KBS memberhentikan praktis ini. Saya terima kritikan dengan hati yang terbuka.

“Dahulu saya dibuang kerja kerana kritik Barisan Nasional (BN). Saya tak mahu budaya yang sama diteruskan,” katanya di Twitter hari ini.

Tular di laman sosial sepucuk surat tunjuk sebab kepada seorang Felo Korporat yang juga Ahli Parlimen Belia Selangor, Mohammad Shakir Ariff Shaifuddi.

Surat ditandangani Pengarah Cawangan Kepimpinan Sahsiah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan itu merujuk kepada kenyataan Mohammad Shakir di laman Twitter terhadap Syed Saddiq.

Kenyataan tersebut didakwa melanggar perjanjian program Felo Korporat apabila menjejaskan imej dan nama baik kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Shakir di laman Twitternya berkata, masalah yang sering dialami Armada Bersatu mempunyai kaitan dengan ketuanya, Syed Saddiq.

“Mana-mana parti pun sedar sayap muda memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan hanya tahu bercakap dan berlegar di media sosial.

“Armada akan kekal jauh di belakang AMK (Angkatan Muda Keadilan) dan DAPSY (Pemuda Sosialis DAP) selagi mana diketuai orang ini.

“Kena tanya balik apa sebenarnya kelayakan beliau sampai diangkat jadi menteri, siap jadi ketua Armada Nasional tanpa diundi. Education (pendidikan)? Pengalaman?,” katanya.