Pemandu bas ekspres buat 'live' TikTok kena saman

Gambar tular melibatkan antara kes pemandu bas yang leka bermain telefon bimbit semasa memandu.
Gambar tular melibatkan antara kes pemandu bas yang leka bermain telefon bimbit semasa memandu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan tiga pemandu bas ekspres menggunakan telefon bimbit termasuklah membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok ketika memandu membawa padah apabila disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.

Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, mereka dikesan melakukan kesalahan itu dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 1 hingga 20 April lepas.

Shahrul Azhar (kanan) menyoal seorang penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi dilakukan JPJ Kedah.
Shahrul Azhar (kanan) menyoal seorang penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi dilakukan JPJ Kedah.

Beliau berkata, tindakan tiga lelaki berusia antara 52 hingga 54 tahun itu terbongkar melalui operasi penyamaran dilakukan anggota JPJ Kedah bermula dari Terminal Bas Shahab Perdana.

"Seorang pemandu bas ekspres dikesan berbual-bual tanpa sebab munasabah iaitu membuat panggilan video sepanjang memandu dalam perjalanan dari Alor Setar ke Ipoh pada 1 April lepas.

"Sehubungan itu, lelaki itu disiasat mengikut Kaedah 17 (a) PSV License Competent Driving Conductor and Passenger (LCDCP) 1959," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media operasi khas HRA 2024 di Ibu Pejabat JPJ Kedah, di sini, pada Rabu.

Menurutnya lagi, seorang pemandu pula didapati melakukan kesalahan menggunakan alat komunikasi (siaran langsung TikTok) ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur pada 18 April lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari sama, seorang lagi pemandu bas ekspres turut dikesan melakukan kesalahan menggunakan alat komunikasi ketika perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur," katanya.

Shahrul Azhar menambah, dua pemandu itu didapati melakukan kesalahan di bawah kaedah 17A Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

Beliau berkata, apabila ada pemandu masih degil apabila menggunakan telefon bimbit membuat rakaman secara langsung menerusi aplikasi TikTok walaupun diberikan amaran sebelum ini.

"Walaupun sebelum hari raya, kita sudah memanggil operator bas untuk taklimat namun masih ada lagi yang masih melakukan perkara itu (live di TikTok)," katanya.

Tegasnya, tindakan pemandu bas ekspres itu boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kemalangan kerana setiap bas terbabit membawa jumlah penumpang yang ramai.

Beliau berpandangan, pemandu bas mempunyai tanggungjawab sangat besar kerana membawa banyak nyawa dan jika dia hilang tumpuan dua atau tiga saat sahaja boleh mengakibatkan kemalangan dan kematian yang tinggi.

Sehubungan itu, Shahrul Azhar memaklumkan, ketiga-tiga pemandu dikenakan saman RM150 setiap seorang atas kesalahan dilakukan masing-masing.

Dalam perkembangan sama, kongsi beliau, JPJ Kedah melakukan pemeriksaan sebanyak 54,821 kenderaan di seluruh Kedah sepanjang Ops Khas HRA 2024 tersebut.

Katanya lagi, dari jumlah itu, sebanyak 432 kenderaan disita dan 10,149 notis dikeluarkan termasuk tindakan terhadap 223 pemandu warga asing.

Selain itu, beliau berkata, JPJ Kedah mengesan beberapa kesalahan lain seperti tidak memakai kasut ketika memandu serta menukar lorong tanpa isyarat sepanjang operasi itu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tiada kenderaan awam dilaporkan terbabit dalam kemalangan sepanjang Ops Khas HRA 2024 susulan usaha pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!