Imigresen Pahang tahan 28 PATI

PATI yang ditahan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut. Foto Facebook Imigresen Pahang
PATI yang ditahan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut. Foto Facebook Imigresen Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil serbuan ke atas beberapa kediaman di sekitar daerah Bera dan Bentong pada malam Rabu lalu.

Melalui kenyataan yang dikongsi melalui Facebook rasminya, JIM Pahang memaklumkan, PATI yang ditahan terdiri enam warga Pakistan, 21 warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Menurut kenyataan itu, individu yang ditahan berusia 22 hingga 51 tahun itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

"JIM Pahang menerima maklumat awam berhubung kediaman didiami oleh PATI sebelum melakukan serbuan.

"Dalam operasi antara jam 11.15 malam hingga 4.15 pagi itu, seramai 46 PATI terdiri daripada warga Thailand, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan China telah diperiksa dan 28 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan," jelas kenyataan itu.

Antara PATI yang diperiksa dalam serbuan JIM Pahang ke atas beberapa kediaman di sekitar daerah Bera dan Bentong pada malam Rabu lalu. Foto Facebook Imigresen Pahang
Antara PATI yang diperiksa dalam serbuan JIM Pahang ke atas beberapa kediaman di sekitar daerah Bera dan Bentong pada malam Rabu lalu. Foto Facebook Imigresen Pahang

Tambah kenyataan itu, kesemua PATI itu direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut.

Jelas kenyataan itu, JIM Pahang kini sedang mengesan pemilik rumah terlibat untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"JIM Pahang menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran PATI di negeri ini.

"Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan melalui Facebooknya, JIM Pahang turut memaklumkan pihaknya telah menghantar pulang 40 PATI warga Thailand ke negara asal pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, warga Thailand terdiri daripada 16 lelaki, 23 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan itu dihantar pulang menggunakan perkhidmatan bas dari Depot Imigresen Kemayan ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

"Tahanan itu telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Program pemindahan PATI yang dikendalikan Depot Imigresen Kemayan itu merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan JIM Pahang," jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!