Selamba borak bahasa Melayu dengan peniaga di India

Fakhrul Aizat tidak melepaskan peluang bergambar bersama penjual teh tarik popular di India iaitu Dolly Chaiwala (kiri). Tangkap layar video tular yang mencecah hampir 19 juta tontonan di platform TikTok @fakhrulaizat69. Foto Facebook Fakhrul Aizat.
Fakhrul Aizat tidak melepaskan peluang bergambar bersama penjual teh tarik popular di India iaitu Dolly Chaiwala (kiri). Tangkap layar video tular yang mencecah hampir 19 juta tontonan di platform TikTok @fakhrulaizat69. Foto Facebook Fakhrul Aizat.
A
A
A

SHAH ALAM - Gelagat seorang pemandu pelancong yang tidak kekok dan selamba menggunakan bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengan peniaga tempatan di New Delhi, India mencuit hati ramai pengguna media sosial terutamanya Tiktok.

Fakhrul Aizat Agos Lokman, 36, yang juga merupakan jurugambar berkata, dia selesa menggunakan bahasa Melayu kerana mengakui tidak mahir bertutur dalam bahasa Hindi atau Urdu, ditambah pula dengan penduduk tempatan kurang fasih berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun menurutnya, keletahnya bercakap dalam bahasa ibunda amat menghiburkan meskipun masing-masing tidak memahami antara satu sama lain.

“Jadi, saya lebih selesa cakap Melayu sebab kadang-kadang lenggok bahasa itu mereka (rakyat India) seakan-akan mengerti maksud disampaikan dan penonton juga boleh faham apa yang saya rekodkan.

“Tujuan kerap ke India sebab saya bawa pelancong Malaysia ke sana untuk menikmati keunikan dan keindahan alam semulajadi terutamanya Kashmir.

“Ia lebih kepada melancong sambil belajar, membuka mata untuk ketahui cara hidup, budaya, festival, variasi makanan dan minuman serta beri pengalaman buat mereka yang belum menjelajah ke luar negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Antara pelancong yang mengikuti rombongan percutian dan dibawa melawat tempat bersejarah serta budaya negara luar. Foto Facebook Fakhrul Aizat.
Antara pelancong yang mengikuti rombongan percutian dan dibawa melawat tempat bersejarah serta budaya negara luar. Foto Facebook Fakhrul Aizat.

Fakhrul Aizat turut memaklumkan, dia tidak menyangka pengikut media sosial sentiasa memberikan komen dan maklum balas positif kerana berkongsi kehidupan masyarakat India yang kebiasaannya dimomokkan dengan negara kotor serta kurang bersih.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, selepas tular video misi solo mencari penjual teh tarik popular iaitu Dolly Chaiwala ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akaun media sosialnya mula dibanjiri ramai pengikut meskipun sudah lama bergiat aktif menghasilkan kandungan video sejak 2014 lagi.

“Alhamdulillah netizen sangat positif dan sempoi, rata-rata terhibur kerana saya kongsikan perkara mengenai India yang tak semua kawasan kotor atau makanan dijual tak bagus.

“Bila tengok ‘content’ saya, mereka akan bersifat terbuka, terima dan memahami gaya hidup orang India itu.

“Boleh dikatakan bumi India penuh dengan ‘warna-warni kehidupan’, dari kawasan bersalji sehinggalah ke padang pasir semuanya ada. Banyak momen menyeronokkan kerana mereka sangat sempoi,” ujarnya.

Ditanya mengenai makanan wajib dicuba jika rakyat Malaysia melancong ke India, antara yang disarankan adalah nasi beriani daging, kurma kambing, kambing masak Rogan Josh, ayam mentega dan roti nan.

“Pasti orang ramai akan suka sampai jilat jari! Setakat ini dah lebih daripada 15 negara saya kunjungi, secara peribadinya India, Istanbul dan Indonesia paling terbaik,” ulas pemuda asal Perak itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!