4 lelaki ditahan merusuh dalam kasino di Genting Highlands

Tangkap layar rakam video yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah premis.
Tangkap layar rakam video yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah premis.
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh di dalam kasino di Genting Highlands, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku pergaduhan di Genting Club, kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, pergaduhan itu melibatkan dua kumpulan yang terdiri 10 lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 50 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan berlaku salah faham di antara mereka yang berada di dalam kasino tersebut.

"Kita telah menahan empat lelaki yang terlibat dalam pergaduhan bagi membantu siasatan. Mereka direman selama dua hari bermula hari ini (Ahad) sehingga esok (Isnin)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memaklumkan, kesemua yang ditahan dihantar ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Tambahnya, polis juga sedang mengesan saki-baki mereka terlibat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di tempat kejadian.

"Beberapa klip rakaman pergaduhan tersebut juga telah tersebar dan tular di media sosial. Kes siasat di bawah Seksyen 147 Kanun keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Zaiham meminta kerjasama daripada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Pada Ahad, tular satu rakaman video berdurasi 40 saat yang memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah premis.

Terdapat individu yang cedera akibat pergaduhan tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28