Kenyataan MCCBCHST tersasar dan bermasalah - Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan media Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) bahawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah 'akan menjadi tidak berperlembagaan' adalah tersasar dan bermasalah dalam banyak segi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MCCBCHST sepatutnya tidak mencampuri atau dilihat cuba mencampuri urusan, hal-ehwal dan pentadbiran agama Islam sesuai dengan kedudukan khas serta istimewanya sebagai agama Persekutuan.

Katanya, perlu diingatkan juga bahawa hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan bagi agama-agama di Malaysia turut meliputi agama Islam dan perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak.

"Pas percaya percanggahan atau polemik undang-undang yang cuba dibangkitkan oleh MCCBCHST adalah tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranan sahnya sebagai sebuah majlis perundingan agama, terutama sekali apabila tidak menunjukkan sebarang bukti bagaimana pindaan undang-undang Islam berkenaan boleh memberi kesan ke atas amalan agama-agama bukan Islam di negara ini.

"Apakah MCCBCHST mahu berperanan sebagai penyibuk atau 'hantu orang tengah' sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam beberapa penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan isu sama kerana perbuatan sedemikian hanya menimbulkan kecurigaan terhadap niat dan motif sebenar majlis itu sendiri," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pertengahan Mac lalu, MCCBCHST menggesa Peguam Negara campur tangan terhadap langkah Kerajaan Kelantan untuk menggubal semula peruntukan jenayah syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tambah Takiyuddin sebagai badan perundingan agama, Pas beranggapan peningkatan amalan beragama yang meluas, sihat dan teratur dalam kalangan pengikut semua agama tentulah menjadi antara cita-cita murni MCCBCHST atas kesedaran bahawa ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat dan negara.

"Namun malangnya, dalam konteks penambahbaikan kepatuhan orang Islam kepada agama mereka melalui cadangan pindaan undang-undang di atas, MCCBCHST cuba menghalang dan menyekatnya dengan bantahan tidak berkaitan dan naratif yang salah.

Artikel Berkaitan:

"Mahu tidak mahu, sekali lagi motif dan agenda sebenar majlis berkenaan terus menjadi persoalan, sekali gus berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam konteks hubungan antara kaum dan agama," jelasnya.

Takiyuddin turut menggesa kepimpinan kerajaan supaya segera memberikan respons terhadap kenyataan MCCBCHST yang boleh dianggap songsang itu, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

“Bagi Pas, ini bukan sahaja tindakan yang keterlaluan dan provokatif tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetuskan permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang menjunjung cita-cita kerukunan dan perpaduan rakyatnya.

“Pas menegaskan bahawa cadangan pindaan Akta 355 tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan adalah sah serta berperlembagaan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!