'Jualan merosot, tahun berniaga paling teruk'

Keadaan di kedai sedia ada di tingkat 3 Komtar yang terletak berhampiran Bazar Syawal Komtar juga lengang. Gambar kecil dari kiri: Abdul Rahim, Pelmi, Ibrahim, Rosnawani
Keadaan di kedai sedia ada di tingkat 3 Komtar yang terletak berhampiran Bazar Syawal Komtar juga lengang. Gambar kecil dari kiri: Abdul Rahim, Pelmi, Ibrahim, Rosnawani
A
A
A

GEORGE TOWN - Walaupun hanya tinggal seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun suasana di Bazar Syawal di tingkat 3, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kelihatan suram tanpa pengunjung seperti tahun-tahun sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengunjung yang ada boleh dikira dengan jari menyebabkan peniaga di situ termenung mengenangkan nasib mereka.

Peniaga baju Melayu, Abdul Rahim Che Mat, 60 berkata, tahun ini adalah tahun yang paling teruk dalam sejarah perniagaannya di ruang legar tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, dia terpaksa menurunkan harga barangan jualannya kerana kekurangan pembeli.

"Memang tak ada orang langsung, tengoklah kami peniaga di sini, termenung saja sejak 1 Ramadan. Sebelum ini, ada juga jualan, tetapi tahun ni, paling teruk. Penjualan saya berkurangan sehingga 45 peratus. Kalau dulu, seminggu sebelum raya, memang tak menang tangan.

"Tapi tahun ni, tengoklah sendiri. Hari minggu pun susah nak berniaga, ini kan pula hari bekerja. Tahun sebelum ini, Sabtu dan Ahad, jualan saya boleh mencecah RM12,000 tetapi tahun ini, nak sampai RM5,000 pun payah.

"Bagaimana saya nak bayar gaji pekerja jika perniagaan teruk macam ni? Saya pula sewa dua tapak dengan kos RM5,500. Memang tak balik modal berniaga tahun ini," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Peniaga kain batik dan telekung, Pelmi Saya, 50, berkata, Sabtu lalu merupakan hari paling teruk sepanjang berniaga di bazar berkenaan sejak 30 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, dia hanya berjaya menjual sehelai kain batik yang berharga RM25 pada hari berkenaan.

Peniaga di Bazar Syawal Komtar mendakwa perniagaan mereka merosot sehingga 50 peratus kerana tiada pengunjung.
Peniaga di Bazar Syawal Komtar mendakwa perniagaan mereka merosot sehingga 50 peratus kerana tiada pengunjung.

"Sejak saya buka gerai iaitu empat hari sebelum Ramadan sehingga hari ini, penjualan paling banyak adalah RM400 sehari dan yang paling teruk, Sabtu lalu. Saya betul-betul tak sangka, sepanjang saya berniaga, sehelai kain batik saja saya berjaya jual.

"Tahun sebelum ini, lumayan, sehari boleh dapat RM1,000 hingga RM2,000. Sekarang, sehari nak dapat RM400 pun susah. Saya terpaksa jual murah iaitu dengan harga modal saja, kalau tak, barang saya tidak akan terjual dan saya rugi. Biar saya dapat balik modal saya pun, sudah memadai," katanya.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Ibrahim Mohamad, 69 berkata, penjualannya menurun sehingga 50 peratus pada tahun ini berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Ibrahim berkata, dia hanya mampu memperoleh RM100 hingga RM150 sehari sejak hari pertama Ramadan berniaga di tingkat 3 kompleks berkenaan.

"Bazar ini sudah lama dibuat setiap kali Ramadan, sejak berpuluh tahun lalu. Saya berniaga di sini pun sudah lebih 20 tahun tetapi penjualan menurun sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan kerana Covid-19 dulu.

"Sejak tahun lepas, kuih saya dah mula tak habis walaupun sehingga ke malam raya. Tetapi paling teruk adalah tahun ini. Saya boleh bertahan pun sebab ada pelanggan tetap, itu lah yang boleh tampung sikit-sikit.

"Itu pun, mereka dah tak beli macam dulu, dalam kuantiti yang banyak. Senang cakap, pembelian ada tetapi amat kurang," katanya.

Dalam pada itu, selain di bazar tersebut, tinjauan turut dibuat di kedai pakaian sedia ada di lokasi yang sama.

Kebanyakan peniaga di situ juga merungut perkara yang sama apabila perniagaan mereka tidak 'serancak' seperti tahun sebelum ini.

Rosnawani Ismail, 43 berkata, sejak tujuh tahun lalu berniaga di situ, tahun ini merupakan tahun paling suram bagi perniagaannya.

"Pelanggan tu ada tetapi mereka lebih kepada 'tengok-tengok' saja, tak membeli pun. Selalunya seminggu sebelum raya, kami tak menang tangan tetapi tahun ini, lenggang.

"Saya masih berharap, mungkin ada yang akan membeli pada saat akhir. Itu saja lah harapan kami peniaga di sini," katanya.

Peniaga baju kurung yang hanya mahu dikenali sebagai Lin 30-an berkata, dia tidak berani untuk menambah stok baju kurung dan tudung di premisnya kerana bimbang tidak mampu untuk menanggung kos sekiranya tidak terjual.

"Perniagaan memang 'slow' banyak, saya tak sangka seteruk ini. Stok dari awal Ramadan pun, banyak yang belum terjual.

"Sebab itu saya tak berani nak tambah stok lagi, risau nanti tak mampu nak bayar kepada pembekal. Saya jual apa yang ada saja," keluhnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28