Projek pelebaran Lebuhraya PLUS diteruskan hingga ke Ayer Hitam

Ahmad (tengah) menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah pada Ahad.
Ahmad (tengah) menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang akan diteruskan sehingga ke Ayer Hitam berbanding cadangan sebelum ini iaitu sehingga Sedenak, Kulai.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukkan sebanyak RM931 juta bagi projek pelebaran itu masih mencukupi bagi menampung pertambahan jarak sebanyak 17 kilometer itu.

"JKR dalam proses Kajian Nilai (Value Assessment-VA) supaya projek ini pelebaran lebuh raya ini boleh dilanjutkan memandangkan peruntukan besar membolehkan ia diteruskan sehingga ke Ayer Hitam.

"Hari ini, saya ingin maklumkan dengan peruntukan sama RM931 juta, projek pelebaran Lebuhraya PLUS antara Sedenak bukan berakhir di Simpang Renggam sahaja tetapi ia akan diteruskan sehingga ke Ayer Hitam.

"Selepas penilaian dibuat, pertambahan 17 km itu didapati mencukupi bagi peruntukkan RM931 juta," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat JKR Johor di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah, pada Ahad.

Ahmad ( tengah) bersama warga JKR Johor mengacau bubur lambuk di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah pada Ahad.
Ahmad ( tengah) bersama warga JKR Johor mengacau bubur lambuk di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Gelang Patah pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah JKR Johor, Abu Bakar Abd Aziz.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Oktober tahun lalu, Kerajaan dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 dilaporkan berkata, projek pelebaran Lebuhraya PLUS membabitkan kawasan Johor itu Akan dibangunkan dengan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

Pada 18 Februari lalu, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat lorong kepada enam lorong membabitkan Senai Utara ke Sedenak, dilaporkan akan dimulakan Jun ini.

Jelasnya, projek pelebaran Fasa Satu itu membabitkan jarak 21.8 km dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!