18 PATI warga Indonesia cemas, bot dinaiki karam

Bot dinaiki PATI warga Indonesia karam di 11 batu nautika Barat Kuala Selangor di sini pada Khamis lalu.
Bot dinaiki PATI warga Indonesia karam di 11 batu nautika Barat Kuala Selangor di sini pada Khamis lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seramai 18 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam di 11 batu nautika Barat Kuala Selangor di sini pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kejadian berlaku ketika semua dalam perjalanan memasuki ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

Jelas beliau, Maritim melalui MRSC Johor Bahru menerima aduan daripada salah seorang ahli keluarga mangsa melalui talian MERS 999 mengenai kejadian itu pada jam 9.55 pagi.

"Menurut pengadu, kesemua mangsa selamat dan dipercayai berada di Lighthouse di kedudukan 11 BN Barat Kuala Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, berpandukan maklumat berkenaan, Maritim Malaysia mendapatkan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi menyelamat dan membawa mangsa ke jeti PPM Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Hamid memberitahu, mangsa terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita. Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan keluar masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: