UEFA dengar luahan hati pengendali pasukan Euro Jerman 2024

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin. Foto AFP
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin. Foto AFP
A
A
A

KESATUAN Bolasepakl Eropah (UEFA) akan mendengar pandangan dalam kalangan pengendali pasukan kebangsaan mengenai saiz skuad untuk kejuaraan Euro 2024 di Jerman, kata badan induk bola sepak Eropah.

Pengembalian kepada had pra-Covid-19 iaitu 23 pemain diberikan lampu hijau UEFA, selepas ia dinaikkan kepada 26 untuk Euro 2020 dan Piala Dunia 2022, menyaksikan pengendali telah menyuarakan kebimbangan masing-masing.

“Kami telah mengambil maklum komen yang dinyatakan oleh beberapa pengendali pasukan kebangsaan mengenai saiz skuad untuk Euro 2024.

“Satu bengkel bersama pasukan-pasukan yang mengambil bahagian akan diadakan pada 8 April dan pada kesempatan itu UEFA akan mendengar pandangan jurulatih.

“Sebarang idea dalam hal ini kemudiannya akan dipertimbangkan dan dinilai semula badan induk bola sepak ini,” kata jurucakap UEFA.

Semasa jendela antarabangsa baru-baru ini, pengendali England, Gareth Southgate dan pengurus, Belanda Ronald Koeman menyuarakan pandangan mengenai isu itu.

“Sangat pelik untuk tidak memilih daripada 26 pemain. Tidak masuk akal untuk kembali ke had 23 pemain.

“Anda perlu menangani lebih banyak kecederaan hari ini. Ia mengenai keupayaan membawa beban pemain,” kata Koeman selepas Belanda dijinakkan 1-2 Jerman pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Southgate pula berkata bahawa beliau akan menamakan skuad awal berharap keputusan UEFA ditarik balik.

“Tidak dapat dielakkan kami akan menamakan skuad yang lebih panjang, itu yang kami lakukan sebelum Euro di England sebelum ini (pada 2021) walaupun kami berhadapan dengan 26 pasukan ketika itu.

“Ada satu lagi mesyuarat UEFA di mana terdapat sedikit perbincangan dalam kalangan beberapa jurulatih tentang kemungkinan meningkatkannya,” ujar Southgate.

Sebagai rekod, tarikh akhir penyerahan senarai skuad kepada UEFA ialah 7 Jun sebelum kejuaraan berprestij bola sepak Eropah itu bermula pada 14 Jun.

Sebagai rekod, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menambah had skuad daripada 23 kepada 26 untuk Piala Asia yang bermula Januari tahun ini.

Sementara bagi Piala Negara Afrika, yang juga bermula pada Januari, mempunyai had skuad 27.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28