Kerajaan Pusat, negeri digesa bantu pesawah

Muhammad Fauzi (tengah) mengadakan sidang akhbar di Pejabat ADUN Sungai Dua berhubung masalah pesawah pada Jumaat.
Muhammad Fauzi (tengah) mengadakan sidang akhbar di Pejabat ADUN Sungai Dua berhubung masalah pesawah pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menggesa Kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Pusat supaya membantu pesawah serta mengambil berat terhadap isu yang dihadapi oleh golongan tersebut.

Masalah tersebut melibatkan pesawah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Air Tawar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, purata hasil padi yang diperolehi pesawah ketika ini di bawah 2 tan bagi 1.21 hektar berbanding 3.5 hingga 5 tan sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu disebabkan beberapa faktor antaranya harga benih padi serta kualiti racun rumpai yang digunakan ketika ini.

Keadaan sawah padi yang kering akibat cuaca panas yang melanda kawasan utara ketika ini.
Keadaan sawah padi yang kering akibat cuaca panas yang melanda kawasan utara ketika ini.

"Pesawah menghadapi dilema harga benih padi yang terdapat di pasaran pada ketika ini, harga jualan yang ditawarkan kepada pesawah adalah di antara RM60 ke RM70 bagi setiap kampit 20 kilogram (kg) sedangkan arahan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 11 Oktober 2023, benih padi perlu dijual pada harga maksimum RM35 bagi setiap kampit 20kg.

"Pada 20 Oktober tahun lalu, satu Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawal Selia padi dan beras telah dikeluarkan dengan menyatakan bahawa peruncit benih padi sah diberikan surat kebenaran untuk menjual padi kepada pesawah pada harga RM45 bagi setiap kampit 20kg.

"Perkara tersebut amat membebankan pesawah dengan kos kenaikan yang mendadak serta tidak terkawal.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, kekurangan stok benih padi di pasaran juga merupakan salah satu faktor kepada kenaikan harga benih padi yang tidak munasabah," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat ADUN Sungai Dua di sini pada Jumaat.

Muhammad Fauzi menambah, racun yang digunakan pesawah didapati kurang berkesan untuk membunuh rumpai yang menyerang tanaman padi.

"Pesawah sedang menghadapi serangan rumpai tanaman padi antaranya rumpai sambau, keladi agas dan cabai kera.

Bagaimanapun kualiti racun rumpai yang digunakan sekarang kurang berkesan.

"Masalah itu telah menjejaskan hasil padi yang diperolehi pesawah sejak beberapa tahun kebelakangan ini," jelasnya lagi.

Beliau berkata, isu pengairan, cuaca kemarau dan suhu panas juga salah satu masalah yang dihadapi lebih 5,000 pesawah di ketiga-tiga DUN berkenaan.

"Isu tanah jerlus juga membelenggu pesawah kerana jentera penuai dan pembajak agak sukar untuk menjalankan kerja-kerja di sawah.

Sejak kebelakangan ini, isu ini semakin serius.

"Kos mengerjakan tanaman padi untuk setiap 1.21 hektar terkini adalah RM3,330 iaitu naik lebih 90 peratus semenjak 2021.

Sementara purata pendapatan pesawah hanya RM2,880.

"Setelah ditolak kos, pesawah hanya memperoleh keuntungan RM450 untuk 1.21 hektar," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Fauzi meminta memberi insentif bayaran sekali sebanyak RM1,000 kepada setiap pesawah.

"Insentif itu bagi mengurangkan beban yang ditanggung pesawah.

Menteri terlibat perlu turun padang untuk bertemu dengan pesawah bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran yang sedang dihadapi oleh mereka ketika ini.

"Pihak kawal selia padi dan beras juga perlu meningkatkan lagi tahap penguatkuasaan bagi memastikan harga benih padi menepati harga siling (maksimum) yang telah ditetapkan oleh kerajaan selain memastikan bekalan stok benih padi sentiasa mencukupi untuk dibekalkan kepada pesawah-pesawah.

"Isu pengairan perlu diselesaikan dengan segera melalui sumber air alternatif seperti telaga tiub dan sistem pegurusan saliran yang komprehensif," katanya.

Tambah beliau lagi, penyelidikan terhadap racun secara berterusan juga perlu dilakukan oleh kerajaan supaya rumpai yang menjadi musuh kepada tanaman padi dapat dihapuskan agar hasil padi yang diperolehi dapat dipertingkatkan pada masa depan," katanya. Ends.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!