Pelapor Khas PBB kumpul bukti genosid Israel diugut

Ugutan sedemikian tidak melemahkan semangat Francesca untuk menjalankan tanggungjawab beliau. - Foto Agensi
Ugutan sedemikian tidak melemahkan semangat Francesca untuk menjalankan tanggungjawab beliau. - Foto Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu mendedahkan beliau menerima ugutan ketika cuba mengumpulkan bukti genosid dilakukan Israel di Genting Gaza.

Ancaman itu berlaku ketika Francesca Albanese dipertanggungjawabkan untuk melaporkan tentang situasi hak asasi manusia di Tebing Barat dan Gaza.

Laporan bertajuk Anatomi Genosid yang disediakan beliau dan ditolak rejim Tel Aviv bagaimanapun telah dihantar kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Selasa.

“Bentuk tekanan seperti itu tidak mengubah komitmen saya untuk melengkapkan laporan tersebut. Ia adalah waktu yang sukar. Saya diugut sejak dari awal diberi mandat tersebut,” ujarnya yang tidak memberikan butiran lanjut tentang bentuk ugutan yang diterimanya.

Kandungan laporan beliau menyebut Israel telah melanggar tiga daripada lima akta di bawah Konvensyen Genosid Antarabangsa selain memberi amaran tentang skala kemusnahan di Gaza membuktikan rancangan jahat rejim Zionis mahu menghapuskan populasi Palestin.

Menurut Albanese, kepimpinan eksekutif dan tentera Israel sengaja menukar 'fungsi perlindungan' mereka untuk membenarkan keganasan genosid ke atas penduduk Palestin.

“Satu-satunya kesimpulan munasabah adalah dasar Israel bermatlamat menyasarkan penduduk Gaza,” jelas kandungan laporan itu lagi. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: